Thursday, 12 July 2018

Tingkat Perkhidmatan Produk Pelancongan Menerusi My-TTQS

SHARE
Sulaiman (tengah) bersama sebahagian peserta Seminar Ke Arah Hala Tuju Baru Pelancongan Negeri Terengganu  di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu. hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim

Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) akan mengadakan  proses audit yang dikenali sebagai My Terengganu Tourism Quality Service (My-TTQS) bertujuan meningkatkan perkhidmatan dan kualiti kemudahan bagi produk pelancongan di Terengganu bermula Ogos depan.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan setempat seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pejabat daerah, NGO pelancongan serta agensi dan jabatan berkaitan bagi menilai serta memberi penarafan ke atas sesuatu produk pelancongan di negeri ini.

“Dalam usaha mengklasifikasikan produk pelancongan yang menepati tahap piawaian kualiti yang tinggi bagi memuaskan kehendak pelancong domestik dan antarabangsa, proses audit ini akan menekankan aspek pemilihan, kesediaan dan potensi untuk sesuatu tempat itu dipromosikan sebagai tarikan pelancongan termasuk juga tahap keselamatan, kebersihan, serta kemudahan infrastruktur lokasi tersebut.

“Kita sasarkan dapat jalankan proses audit ini terhadap dua produk pelancongan setiap bulan dan antara lokasi yang telah dikenalpasti buat permulaan ini termasuk di Belukar Bukit, Lata Tembakah, Air Terjun Chemerong dan Tasik Kenyir,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penutup Seminar Ke Arah Hala Tuju Baru Pelancongan Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi I, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut beliau, dalam usaha memacu sektor pelancongan dan kebudayaan sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi yang mampan serta memperkasa dan memelihara produk pelancongan bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negeri ini, proses audit ini juga dapat meningkatkan keyakinan para pelancong ke atas produk pelancongan di Terengganu yang diiktiraf My-TTQS.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: