Sunday, 22 July 2018

Terengganu Teliti Penyaluran 20 Peratus Royalti Minyak

SHARE



Terengganu akan meneliti secara keseluruhan mengenai penyaluran royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri berkata, pihaknya masih kurang jelas dengan maklumat tersebut sama ada pendirian Kerajaan Pusat itu akan menambah atau mengurangkan hasil berbanding kadar yang lazim diterima sebelum ini.

Katanya, apa yang difahami mengenai kenyataan perdana menteri adalah pengeluaran keuntungan bersih bagi Petronas di negeri terlibat. Jadi jika berdasarkan untung bersih, maka tentulah nilainya tidak sama dengan yang dibaca sekarang, iaitu royalti sebanyak lima peratus yang diterima bersamaan RM1.2 bilion.

“Saya rasa kami perlu tengok dulu berapakah jumlah pengeluaran minyak Terengganu dan berapakah hasil yang telah ditolak cukai, kemudian baru dikira 20 peratus daripada itu.

“Nilai itu mungkin kurang daripada RM1.2 bilion atau mungkin lebih. Jadi untuk memberi sokongan atau tidak setuju kami perlu lihat dengan lebih terperinci perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas Majlis Makan Malam Dana Maahad Darul Quran (MDQ) sempena Ihtifal Idul Ilmi MDQ 2018 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang malam tadi.

Semalam, Dr.Mahathir memaklumkan Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan memenuhi janji menyalurkan 20 peratus keuntungan minyak dan hasil petroleum negara kepada empat negeri pengeluar sumber itu.

Menurut Ahmad Samsuri, bagi negeri-negeri yang sebelum ini hanya menerima wang ehsan termasuk Terengganu, kadar royalti sepatutnya dibayar adalah sekurang-kurangnya lima peratus.

Walaubagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju dengan prinsip Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan wang royalti minyak secara terus kepada kerajaan-kerajaan negeri tanpa mengira parti mana yang mentadbir negeri berkenaan.

“Kita komited dengan prinsip itu dan akan menggunakan wang berkenaan untuk rakyat cuma dari segi penjelasan terperinci sama ada lima peratus kedudukan sekarang ini atau 20 peratus daripada untung bersih itu kita akan tengok balik mana yang lebih mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri,” katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: