Saturday, 7 July 2018

Tekanan Air Rendah, Penduduk Diminta Bersabar - Hanafiah

SHARE


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat meminta penduduk di sekitar kawasan kebakaran kilang penapisan Kemaman Bitumen Company (KBC) supaya bersabar berikutan tahap tekanan air di kawasan tersebut menjadi rendah.

Menurut Hanafiah, keadaan tersebut disebabkan air yang disalurkan ke kawasan kilang tersebut untuk memudahkan kerja pemadaman kebakaran tiga tangki yang menyimpan minyak mentah sudah masuk hari kedua kejadian.

Tambahnya, berdasarkan keadaan kebakaran di lokasi kejadian, pihaknya yakin kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya sehari dua lagi.

"Ketika ini kebakaran telah dapat dikawal namun pihak bomba sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku," katanya.

Hanafiah ditemui selepas mengiringi Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang melawat pusat gerakan operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu di lokasi kejadian kebakaran, petang semalam.

Setakat malam tadi, pihak berkuasa dan penyelamat sedang bertungkus lumus mengawal api dari merebak ke tangki yang berdekatan kerana baki minyak mentah yang terbakar berada dalam kuantiti masih banyak.

"Jadi penduduk sekitar saya minta bersabar dengan keadaan ini dan kita berdoa semua yang terjadi ini akan dapat diselesaikan sepenuhnya.

"Saya turut memuji kesungguhan semua pasukan yang terlibat dalam proses pemadaman kebakaran yang sanggup menempuh keadaan merbahaya untuk memadamkan kebakaran dan situasi ini harus dipuji dan diberikan penghargaan kepada mereka," katanya.


Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut mengulas kenyataan Menteri Besar yang mahu penduduk di sekitar kawasan kebakaran supaya ke klinik kesihatan berdekatan sekiranya mengalami masalah pernafasan akibat kebakaran tersebut.

"Ibu bapa perlu memantau kesihatan anak mereka dan memastikan anak - anak tidak berada di luar untuk tempoh masa yang lama meskipun pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyatakan indeks pencemaran udara dalam keadaan terkawal," katanya.

Kebakaran tangki yang menyimpan minyak mentah sudah masuk hari kedua apabila api masih tidak dapat dipadam sepenuhnya  berikutan masih terdapat baki simpanan minyak mentah serta dijangka dapat dipadamkan dalam masa yang terdekat.
SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: