Tuesday, 24 July 2018

Tarian Balai Unik, Hanya Di Hulu Terengganu

SHARE

Kesenian Tarian Balai yang indah  kini menjadi satu tarikan seni budaya yang unik dan hanya terdapat di Daerah Hulu Terengganu.

Tarian yang bersangkut dengan pemujaan semangat padi dan ditarikan oleh anak gadis desa berasal daripada Kampung Bukit Gemuruh kini menjadi khazanah kebudayaan Negeri Terengganu.

Setiausaha Majlis Kebudayaan Daerah Hulu Terengganu (MKDHT), Amran Ahmad berkata, tarian balai bergerak aktif pada tahun 70-an sehingga akhir 90-an, namun kesenian itu kini sudah malap dan hampir pupus kerana tiada golongan pelapis yang berminat untuk mempelajarinya.

Jelasnya, ini disebabkan penari asalnya sudah berusia dan mulai dilupakan selari dengan peredaran zaman.

"Oleh sebab itu, sebagai  inisiatif bagi menghidupkan kembali budaya ini, MKDHT memainkan peranan bagi  memperkenalkan Tarian Balai dengan melatih generasi baru yang berminat untuk mempelajarinya di Kampung Bukit Gemuruh.

"Pihak kami juga menghidupkan kembali tarian ini di setiap program kebudayaan yang diadakan untuk generasi baru supaya menjiwai budaya yang hampir pupus,"kata beliau ketika ditemui Teganukita di pejabatnya di Kuala Berang, hari ini.

Menurutnya, tarian balai kini semakin dikenali dan berjaya diketengahkan ke peringkat lebih tinggi melalui jemputan yang diterima antara persembahan sempena Le Tour De Langkawi.

"Kami pernah dijemput mengadakan persembahan di festival kebudayaan di Singapura dua tahun lepas dan hampir seluruh Malaysia yang dibawa khas oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia.

"Syukur sehingga kini masih lagi dijemput untuk membuat persembahan setiap kali festival berlangsung dan saya harap ia akan berterusan bagi memastikan Tarian Balai bertahan sebagai kesenian anak Melayu,"ujarnya lagi.

Amran berkata, pergerakan dalam tarian menggambarkan kebudayaan petani atau penanam padi.

Tambahnya, payung yang berwarna-warni diletakkan di tengah-tengah pentas dan gadis-gadis penari tersebut akan menari mengelilingi payung yangmenjadi simbol dan lambang semangat padi.

"Semasa tarian itu, sebilangan perkakas-perkakas menanam padi digunakan seperti cangkul, penuai padi, topi penanam padi danseumpamanya digunakan.

"Tarian ini pada kebiasaannya akan diiringi dengan nyanyian.Jika diteliti lirik lagunya banyak mengandungi kata-kata yang berunsurkan nasihat kepada mereka yang mendengarnya," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: