Thursday, 19 July 2018

Simbolik Logo Terengganu Maju Berkat Sejahtera

SHARE


Model Pembangunan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang dirangka berteraskan tiga dasar, tujuh prinsip, sembilan strategi, lima bidang utama, sepuluh program induk, enam sasaran dan tiga teras pelaksanaan adalah bagi menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030.

Di sebalik PITAS 2030 yang berfalsafah untuk membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, logo Terengganu Maju Berkat Sejahtera dicipta bagi memberi mesej yang menggambarkan keseluruhan sasaran pembangunan itu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyampaikan ucapan di Majlis Ucap Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, pada Selasa lalu menerangkan mesej sebalik logo berkenaan, iaitu warna hitam putih digunakan sebagai simbolik warna rasmi Negeri Terengganu, manakala hijau pula melambangkan warna universal untuk Islam.

“Bangunan pula melambang kemajuan duniawi, masjid adalah lambang pembangunan modal insan, pokok pula menunjukkan Terengganu sebagai negeri pesisir pantai. Malah kita mempunyai pantai terpanjang di Malaysia dan keunikan tersendiri. Manakala corak batik melambangkan seni warisan negeri Terengganu. Betapa kita menghargai kewujudan pelbagai sektor yang ada di Terengganu.



“Motif bulan dan bintang pula melambangkan bendera Negeri Terengganu. Bentuk logo bulat pula membawa maksud kepada permuafakatan, persefahaman dan kerjasama di antara kita dalam menggerakkan agenda Terengganu Maju Berkat Sejahtera,” ulas beliau lagi.

Ahmad Samsuri dalam ucapannya juga menyeru dan mengajak semua pegawai tadbir untuk bersama beliau berganding bahu sebagai satu pasukan bagi menjayakan PITAS 2030 dengan meletakkan kesejahteraan negeri serta rakyat Terengganu sebagai keutamaan dan `mardhatillah’ menjadi matlamat semua.
  

SHARE

Author: verified_user

0 komen: