Wednesday, 4 July 2018

Sidang DUN : Pesakit Wad Kelas Tiga Bakal Nikmati Rawatan Perubatan Percuma

SHARE

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memberi jaminan pesakit wad kelas tiga di seluruh hospital kerajaan negeri ini akan menikmati rawatan perubatan secara percuma tidak lama lagi.

Katanya, ketika ini semua draf dan dokumen akhir telah siap dan cuma menunggu untuk dibentangkan dalam mesyuarat Exco bagi mendapat kelulusan.

"Kita telah berbincang dengan pihak hospital dan jawatankuasa untuk perlaksanaan perkara ini kerana kerajaan tidak akan mengabaikan tanggungjawab khususnya kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

"Janji kita adalah untuk memberi rawatan percuma kepada semua pesakit yang dimasukkan ke wad kelas tiga seluruh hospital di negeri Terengganu tanpa mengira latar belakang ekonomi dan taraf hidup," ujarnya ketika menggulung titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, bagi menjelaskan caj yang dikenakan ke atas pesakit, kerajaan negeri berkemungkinan akan menggunakan Tabung Darul Iman yang akan diperluaskan fungsinya.

Dalam perkembangan lain, Alias berkata kerajaan negeri akan mengagihkan kad sejahtera seperti yang dijanjikan dalam manisfesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 selewat-lewatnya hujung tahun ini.

 “Kad sejahtera adalah untuk rakyat yang berpendapatan rendah di negeri ini. Sekarang ini, kira-kira 6,000 penerima yang berada di dalam rekod e-kasih dan Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) layak untuk memiliki kad ini.

 “Namun ini bukanlah jumlah yang muktamad kerana kita akan minta pegawai kita kenal pasti lebih ramai rakyat yang layak bagi memastikan mereka mendapat kemudahan tersebut,” katanya.

Kad bernilai RM500 itu akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka membayar kos rawatan segera di klinik-klinik berdekatan jika mengalami masalah kesihatan.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: