Wednesday, 4 July 2018

Sidang DUN: Peruntuk RM4.4 Juta Bina Kompleks Ibu Tunggal

SHARE
Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kasim

Kompleks Ibu Tunggal di Chendering, Kuala Terengganu yang bernilai RM4.4 juta mula  beroperasi sejak  Disember lalu menjadi pusat aktiviti utama golongan berkenaan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kompleks yang dilengkapi sebuah bilik mesyuarat, tiga buah bilik aktiviti (spa, memasak, menjahit), sebuah pejabat pengurusan persatuan, surau, perpustakaan, gimnasium, cafe, enam buah kedai usahawan berserta lima buah kiosk.

Beliau berkata, kompleks ini dibina untuk memperkasakan golongan ibu tunggal di Terengganu dengan memberi tumpuan kepada empat fokus iaitu bimbingan ekonomi dan kemahiran, bimbingan perundangan, bimbingan kekeluargaan dan bimbingan kesihatan dan kemasyarakatan.

"Selain itu, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) turut mewujudkan Program Pinjaman Jaya Diri (PJD) bagi memberikan kemudahan dan bantuan secara langsung kepada ibu tunggal yang ingin menceburi bidang perniagaan.

 "Kebanyakan bidang yang diceburi adalah bidang kecantikan, pakaian dan perusahaan makanan dengan jumlah pinjaman sebanyak RM474,000 membabitkan 52 orang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian  ketika menjawab soalan tambahan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) mengenai kos keseluruhan dan fokus utama pembangunan kompleks berkenaan serta jumlah peminjam dan kos yang diperuntukkan kerajaan negeri menerusi program PJD.

Hanafiah turut memaklumkan bilangan ibu tunggal di Terengganu kini mencecah seramai 32,411 orang berdasarkan perangkaan hingga akhir bulan lalu.

Katanya, Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 5,279 orang ibu tunggal, diikuti 4,768 orang di Besut, Marang (4,305 orang), Dungun (4,182 orang) dan Kuala Terengganu (3,925 orang).

“Kuala Nerus pula seramai 3,658 orang, Setiu (3,307 orang) dan Hulu Terengganu (2,987 orang).

"Daripada jumlah itu seramai 28 orang ibu tunggal berumur di bawah 20 tahun manakala 2,010 orang (21 hingga 30 tahun), 4,783 orang (31 hingga 40 tahun), 6,506 orang (41 hingga 50 tahun), 9,556 orang (51 hingga 60 tahun) dan 9,528 orang di atas 61 tahun," katanya.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: