Wednesday, 4 July 2018

Sidang DUN: Pembinaan SM Imtiaz Marang Ditangguh

SHARE

Dr. Mamad
Pembinaan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di Kampung Tok Muchong, Wakaf Tapai, Marang yang membabitkan peruntukan RM60 juta terpaksa ditangguhkan berikutan kekangan kewangan.

Buat sementara waktu,  Sekolah Menengah Imtiaz Marang itu kini beroperasi di bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Tapai melibatkan 113 pelajar Tingkatan Satu dan Dua seramai 113 orang.

Manakala asrama pelajar pula menggunakan kuarters kediaman guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai.

Bilangan itu akan bertambah pada sesi persekolahan tahun hadapan dengan kemasukan 100 pelajar Tingkatan Satu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, penempatan kekal SM Imtiaz Marang  yang dirancang kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu di Kampung Tok Muchong itu melibatkan kawasan seluas hampir 16 hektar.

“Bagaimanapun  buat masa sekarang pembinaan sekolah itu terpaksa ditangguh kerana kerajaan negeri mengalami masalah kewangan. Hanya akan diteruskan sebaik ekonomi Terengganu kembali stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sulaiman Jusoh (Pas-Pengkalan Berangan) dalam Sidang DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Matlamat utama penubuhan SM Imtiaz Marang itu adalah kesinambungan untuk melahirkan generasi Ulul Albab yang bercirikan quranik, ensiklopedik dan ijtihadik bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Dua program khas diperkenalkan di SM Imtiaz Marang ialah `Interactive Coaching for Learning and Academic Success Strategy (iClass)' dan `International General Certificate of Secondary Education (IGCSE)'.

Sebelum ini,  majlis perasmian dan pendaftaran SM Imtiaz Marang di Wakaf Tapai disempurnakan oleh mantan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang. 


SHARE

Author: verified_user

0 komen: