Tuesday, 3 July 2018

Sidang DUN: MB Respon 70 Peratus Aduan Rakyat

SHARE


Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan hampir 70 peratus permasalahan yang disuarakan rakyat melalui pelbagai saluran terutama laman rasmi Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sudah diberi jawapan balas sebelum tindakan susulan diambil kerajaan negeri.

Katanya, pelbagai kaedah diguna pakai bagi mendekatkan kerajaan dengan rakyat serta mesej dapat disampaikan secara terus dan efisyen antaranya  menerusi penganjuran majlis dialog dan pertemuan bersama semua lapisan masyarakat.

“Umpamanya seperti Majlis Berbuka Puasa Perantau Anak Terengganu Bersama Menteri Besar  dan Kepimpinan Negeri di Lembah Klang, Selangor, baru-baru ini.

“Melaluinya  anak perantau dan rakyat boleh menyuarakan masalah dan pendapat, sekiranya  ada masalah yang dibangkitkan, pihak kerajaan boleh menyelesainya secara terus  oleh agensi berkaitan mahupun portfolio berkenaan yang bergantung kepada isu yang dibangkitkan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri ke 14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, wakil rakyat dinasihatkan supaya bijak mengguna pakai laman media sosial terutama dalam menyampaikan sesuatu maklumat kepada rakyat.

“Setiap maklumat perlu diteliti agar tidak melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP), selain mengelak wujudnya salah faham,”katanya.

Ahmad Samsuri turut memaklumkan persidangan DUN hari ini dan hari sebelum ini berlangsung sangat baik dan tenang, semua wakil-wakil rakyat termasuk daripada pihak pembangkang menjalankan tugas mengikuti peraturan yang ditetapkan.

“Saya berharap perkara itu berterusan sehingga berakhirnya sesi penggulungan esok,”katanya.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: