Tuesday, 3 July 2018

Sidang DUN : Kerajaan Negeri Nafi Hentikan Baucar Komputer Riba Pelajar

SHARE
Satiful Bahari ketika menjawab soalan lisan Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman (BN-Seberang Takir) dalam sidang DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Fotro Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim

Kerajaan negeri menafikan dakwaan pembatalan bantuan baucar RM500 kepada pelajar anak negeri yang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ke atas bagi tujuan pembelian komputer riba.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, Yayasan Terengganu sehingga kini, meneruskan pemberian insentif itu seperti biasa.

"Selepas ini kita akan maklumkan keputusan yang melibatkan pembelian komputer riba ini.

"Kita tidak pernah sebut batal cuma kita buat berperingkat, kita selesaikan dahulu yang melibatkan pelajar yang masuk universiti," ujarnya ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman (BN-Seberang Takir) dalam sidang DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu, Satiful Bahari memberitahu, tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut yang mengharumkan nama Malaysia dalam Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear di Korea Selatan baru-baru ini akan menerima insentif daripada kerajaan negeri.

Menurut beliau, insentif itu sebagai penghargaan atas kejayaan di luar kelaziman dan majlis penghargaan pada Khamis ini akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

"InsyaAllah pada hari sebelum mereka berangkat ke Rusia, kerajaan negeri juga akan memberikan insentif khas kepada mereka," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahmad Razif.

Dalam pertandingan anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Korea Selatan, pasukan SMK Kuala Besut yang diwakili Muhammad Syazwan Mat Sidik, Muhammad Anuar Abd. Ghani dan Safiyyah Muhammad Nasir berjaya menewaskan peserta dari negara maju antaranya Amerika Syarikat, Jepun dan tuan rumah, Korea Selatan.

Pasukan berkenaan dijemput membentangkan projek kesedaran nuklear dalam Kongres Pemuda Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia (Rosatom) di Saint Petersburg pada 27 dan 28 Ogos ini.

Dalam perkembangan lain Satiful Bahari berkata, kerajaan negeri juga sudah membentuk kumpulan pemikir di samping mengenal pasti lokasi bersesuaian sebagai langkah kerajaan untuk mengembalikan institut pendidikan tinggi khusus untuk rakyat negeri ini seperti Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) bagi memenuhi manifesto yang dijanjikan.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: