Wednesday, 4 July 2018

Sidang DUN : Kerajaan Kaji Semula Bayaran Atas Pengeluaran Sumber Galian

SHARE


Kerajaan negeri masih dalam proses mengkaji semula bayaran yang dikenakan ke atas pengeluaran pelbagai sumber galian di Terengganu sebagai langkah untuk menambah hasil negeri dan mengurangkan pergantungan kepada sumber petroleum.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar ketika sesi penggulungan Sidang DUN hari ini berkata, pihaknya mengkaji semula bayaran supaya kadarnya kadar lebih munasabah dan tidak terlalu rendah.

Katanya, perkara itu jelas dapat dilihat pada ‘fee’ bagi pengeluaran silika yang kadarnya dikatakan sangat tidak berpatutan iaitu cuma RM1.50 bagi setiap tan atau RM1,500 bagi 1,000 tan.

“Terengganu ada banyak bahan galian yang sepatutnya memberikan hasil yang juga banyak namun apa yang diterima tidak seberapa dan kita tubuhkan jawatankuasa bagi menjalankan kajian itu dengan memberi  tumpuan bagi menyemak semula peraturan dan enakmen berkaitan dengan bayaran yang dikenakan dalam pelbagai urusan perkhidmatan.

“Ini termasuklah urusan transaksi tanah iaitu bagi daftar pindah milik yang cuma RM40 walaupun harga tanah RM1 juta. Cuma `duty stamp’ yang banyak tetapi hasil itu pergi kepada Pusat,”ujarnya ketika menjawab soalan lisan Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit).

Bazlan mengusulkan soalan mengenai langkah yang dipertimbangkan oleh kerajaan negeri yang baharu dibentuk itu untuk menambah hasil negeri melalui pelbagai sumber.

Menurut Tengku Hassan lagi, pihaknya juga sedang meneliti kadar caj yang boleh dikenakan terhadap agensi pembangunan Pusat seperti Felda dan Felcra berhubung pengggunaan sumber bekalan air negeri dalam sektor perladangan.

“Kita berharap bahawa kerajaan negeri tidak akan mempunyai masalah untuk berdepan dengan kemerosotan sumber hasil dan kekangan kewangan dalam urus tadbir kerajaan negeri pada tahun ini kerana Kerajaan Pusat berjanji untuk mengembalikan royalti,” ujarnya.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: