Tuesday, 3 July 2018

Projek Bina Benteng Pemecah Ombak Kemasik Diluluskan

SHARE

Kerajaan negeri meluluskan projek pembinaan benteng pemecah ombak di Kemasik yang akan dibangunkan tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Saiful Azmi Suhaili berkata, tender terbuka akan ditawarkan kepada pemaju dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi.

“Dalam mesyuarat Exco Rabu lepas, Kerajaan Terengganu sudah meluluskan bajet untuk benteng pemecah ombak di Kemasik dan saya juga menyeru kepada kerajaan negeri untuk meneruskan projek tersebut.

“Projek tersebut akan mengikut perancangan yang asal iaitu selama enam bulan dengan menggunakan reka bentuk yang sama.

“Kita menyeru kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memastikan reka bentuknya tidak merosakkan pantai sebelah iaitu Pantai Tamping,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Petronas di Kelab Golf Rantau Petronas, Kerteh, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.



Sementara itu mengulas mengenai jajaran jalan raya di Kemasik, Saiful Azmi berkata, laluan jajaran melalui Kemaman ke Kuala Terengganu, sebelum ini mempunyai dua lorong ditambah baik kepada empat lorong.

“Walaupun dalam pembinaan, keselamatan juga perlu diutamakan terutama baru-baru ini ada kes kemalangan seorang meninggal di Kemasik.

“Kerajaan negeri bersama jabatan-jabatan lain terutama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melihat kembali aspek keselamatan termasuklah pembinaan lampu isyarat,"katanya.

Menurut Saiful Azmi, kerja pembinaannya kini mencapai 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

Beliau juga menasihatkan penunggang motosikal supaya meningkatkan langkah keselamatan berikutan musim hujan bermula Julai sehingga Oktober ini berisiko kepada pengguna motosikal yang menggunakan laluan itu.




"Oleh itu saya berharap kontraktor mampu menyiapkan sebagaimana perjanjian dalam jadual.

“Saya juga menyarankan kepada pemandu-pemandu kenderaan agar berhati-hati ketika melaui sepanjang jalan projek pembangunan  tersebut,” katanya.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: