Thursday, 5 July 2018

Program Home Manager Akan Ditambah Baik

SHARE
Ahmad Samsuri dan isteri ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Terengganu Inc. hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan meneruskan Program Home Manager atau pengurus kediaman dengan melakukan penambahbaikan bagi memastikan peranannya lebih diperkasakan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program yang diperkenalkan kerajaan negeri terdahulu itu, antara lain akan menekankan aspek kerohanian.

Kita akan membuat penambahbaikan lagi untuk semua proses bukan setakat cara mengendali bayi dan kanak-kanak tetapi juga aspek psikologi dan agama yang perlu diterapkan kepada semua Home Manager.

“YPKT akan memainkan peranan untuk langkah yang seterusnya,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya Terengganu Inc. di Chendering, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga sedang mengkaji langkah pelaksanaan terbaik bagi membuka pusat asuhan di setiap jabatan kerajaan negeri ini seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita telah membentuk jawatankuasa untuk melihat keseluruhan pelaksanaan manifesto di mana ada yang dapat kita laksanakan dengan segera setelah membentuk kerajaan di Negeri Terengganu.

“Dan ada yang akan mengambil masa kerana berlaku aspek perundangan, peraturan dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya, semua itu sedang dikaji dan dilihat bagaimana cara yang terbaik untuk dilaksanakan supaya ianya dapat dilaksanakan dengan baik dan mengurangkan karenah-karenah yang akan timbul kemudian hari.

Dalam pada itu, sebagai mengulas mengenai kematian Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif  , lima bulan ditemukan mati di rumah pengasuhnya di kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor dengan mayatnya tersorok dalam ruang sejuk beku peti ais di rumah tersebut, Ahmad Samsuri memberitahu kerajaan negeri lebih berperanan kepada mendidik rakyat negeri ini berbanding mengambil tindakan undang-undang.

“Ini akan berlaku pertindihan bidang kuasa di bawah Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri sebenarnya boleh melalui agensi yang kita ada termasuklah YPKT, Yayasan Islam dan sebagainya mengadakan kursus-kursus kesedaran dan sebagainya. Tetapi ianya lebih kepada mendidik daripada bentuk penguatkuasaan kerana penguatkuasaan masih lagi di bawah Kerajaan Pusat,” ujarnya.


Katanya, untuk tempoh jangka panjang pendidikan kepada seluruh anggota masyarakat bukan sekadar kepada pengasuh sahaja tetapi juga anggota keluarga yang menghantar anak ke pusat asuhan supaya mereka sendiri meneliti dan bukan menyerah seratus peratus kepada pusat jagaan.

“Hubungan dua hala antara ibu bapa dan pusat jagaan perlu ada dan untuk yang hantar anak kepada pengasuh persendirian, perlulah diteliti dengan lebih cermat kerana di zaman sosial media ini sesiapa sahaja akan iklan di dalam facebook dan sebagainya bahawa dia boleh menjadi pengasuh dan sebagainya.

“Ini memerlukan lebih kepekaan di pihak ibu bapa supaya dapat mengelakkan tragedi tidak diingini berlaku,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: