Monday, 9 July 2018

MTD Bukit Ibam Hargai Bantuan PAS Dungun

SHARE
Perkhidmatan van jenazah yang disediakan oleh PAS Dungun.
                                 
Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Ibam, Keratong, Pahang, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan PAS Parlimen Dungun, berikutan membantu menguruskan dua jenazah mangsa kemalangan yang maut di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT), semalam.

Timbalan Pengarahnya, Din Abu Bakar Mohamad berkata, penghargaan tersebut ditujukan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Dungun dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Lama Sura kerana menguruskan serta menghantar jenazah ke kampung halaman mereka.

"Saya mewakili keluarga mangsa mengucapkan ribuan terima kasih kepada PAS Dungun kerana menyediakan perkhidmatan van jenazah dan menghantarnya ke kampung halaman mereka dan juga pihak masjid yang menguruskan urusan jenazah," katanya.

Menurut Din, pertolongan yang diberikan sedikit sebanyak telah mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa kemalangan yang kehilangan insan yang tersayang di dalam kejadian tersebut.

"Bagi pihak keluarga mangsa, apa yang terjadi merupakan satu ujian Allah terhadap mereka dan kita sebagai hambaNya perlulah memberikan sokongan dan pertolongan kepada mereka (keluarga mangsa) dalam pengurusan jenazah ahli keluarga mereka," katanya.

Katanya kerjasama sebegini perlulah dikekalkan dalam mengukuhkan ukhwah di kalangan ahli PAS untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan tanpa mengira masa.

Keadaan kereta yang remuk teruk dalam kemalangan tersebut.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi semalam di kilometer 334.3 Lebuh Raya Pantai Timur 2 berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka, Syed Namirun Putra Syed Khairul, 11, dan Mohamad Nor Mohammad, 28,  maut selepas kenderaan jenis Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di laluan tersebut.

Dalam kejadian tersebut, kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki mengakibatkan kecederaan parah di kepala serta anggota badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Bapa kepada Syed Namirun, Syed Khairu Hissham Md Akhir, 45, yang duduk di bahagian hadapan penumpang pula mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian, kesemua mereka dalam perjalanan dari Felda Keratong, Pahang untuk menjemput pulang anak sulung  kepada Syed Khairul Hissham, Syarifah Filzatun Athirah, 20,  yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun .
SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: