Tuesday, 10 July 2018

Masjid Ladang Wujud Perpustakaan Masjid Sebagai Pusat Perkembangan Ilmu

SHARE

W. Mohd Al-Bakri (kiri) dan Nor Azzah (kanan) dalam diskusi Pengurusan Perpustakaan Masjid.

Perpustakaan Al-Ghazali yang terletak di Masjid Al- Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), Kuala Terengganu berazam untuk menjadi pusat rujukan ilmu Islam kepada pusat pengajian dan masyarakat di negeri ini.

Pengerusi Masjid itu, Datuk W. Mohd Al-Bakri W. Md Noor berkata, perpustakaan masjid perlu dimanfaatkan sebagai pusat keilmuan serta rujukan bagi masyarakat muslim.

"Perpustakaan masjid berbeza dengan perpustakaan awam di mana ia lebih menumpukan bahan-bahan lebih khusus kepada bidang agama," katanya.

Menurut Mohd Al-Bakri, perpustakaan Al-Ghazali kini memiliki lebih 4,000 naskhah kitab agama dan buku umum.

Perpustakaan Al-Ghazali.
"Rujukan sedia ada ini dapat menarik minat para pengkaji. Untuk lebih khusus, kami menumpukan bidang tafsir dengan pengumpulan tafsir al-Quran dan kini memiliki 20 jenis kitab Tafsir al-Quran.

"Ini memberi kelebihan kepada perpustakaan masjid untuk menyajikan maklumat tentang Islam dengan  pelbagai sudut pandang kepada masyarakat," katanya dalam diskusi Pengurusan Perpustakaan Masjid di Karnival Taman Syurga, pagi ini.

Karnival anjuran masjid dengan kerjasama Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) itu bermula dari 7 Julai dan akan berakhir esok.

Selain kuliah dan jualan buku, turut diadakan program seperti 'Free Market', Seminar Fiqh Wanita, 'Bike Meet' dan gunting rambut percuma.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Islam (JKPIM), Nor Azzah Momin berkata, di Malaysia tidak ada sebuah standard negera dalam pengelasan bidang bahan bacaan berkaitan agama Islam.

"Ini yang JKPIM sedang laksanakan supaya bahan-bahan bacaan dalam bidang agama Islam seluruh negara memiliki standard yang selaras," katanya.

Gunting rambut percuma antara program yang menjadi tumpuan.








SHARE

Author: verified_user

0 komen: