Tuesday, 3 July 2018

Mangsa Bot Karam Dapat Perhatian Ahli Parlimen Dungun

SHARE

Wan Hassan bertanya khabar Ramli selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

Seorang nelayan diibaratkan mati hidup semula selepas terselamat dari lemas akibat bot gentian kaca dinaikinya bocor sebelum karam ketika keluar menangkap ikan pada jarak 13 kilometer dari perairan Kuala Dungun, Sabtu lalu.

Kisah malang mangsa, Ramli Said, 62, membawa kunjungan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli untuk menghulurkan bantuan awal bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.

Menurut Wan Hassan, pihaknya akan menyerahkan perkara tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sura, Wan Hapandi Wan Nik untuk menguruskan permohonan bantuan dan keperluan sepatutnya daripada mangsa kepada pihak yang berwajib.
                               
"Kita akan membuat tindakan susulan pada persidangan parlimen yang akan datang supaya pihak kerajaan dapat meluluskan bantuan kepada nelayan tersebut untuk meneruskan mencari rezeki di laut," katanya.

Wan Hassan turut menasihatkan nelayan supaya lebih berhati-hati ketika berada di laut dan mementingkan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang lagi.

Dalam insiden itu, Ramli terselamat selepas lima jam bergantung pada penutup tong ikan yang dijadikan pelampung untuk berenang sambil meminta bantuan selepas bot gentian kaca dinaikinya karam.

Menurut mangsa, dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, lantai bot yang bocor dan pecah akibat dilambung oleh ombak besar dimasuki air dengan begitu cepat.

"Saya keluar dari rumah dan menaiki bot di Pengkalan Bot Sungai Buaya pada jam 6 pagi dan saya biasa pergi bersendirian kerana di tengah laut ramai rakan-rakan yang turut sama menangkap ikan," katanya.



Ramli
Menurutnya, dalam keadaan cemas, dia mencapai jaket keselamatan dan penutup tong ikan sebelum terjun ke dalam laut.

"Dalam fikiran saya hanyalah untuk menyelamatkan diri dan selepas terjun saya berenang menggunakan penutup tong itu sebagai pelampung untuk meminta bantuan.

"Memang saya rasa letih yang amat sangat namun saya gagahkan juga untuk berenang dan tidak lama kemudian saya nampak seorang pemancing dan menjerit meminta bantuan,"katanya ketika ditemui di jeti pengkalan berkenaan, hari ini.

Katanya, sebaik selamat dibawa ke pengkalan bot pada pukul 1 tengahari dia terus pengsan akibat kehabisan tenaga kerana berenang terlalu lama di lautan.

"Sepanjang 40 tahun saya menjadi nelayan ini merupakan pengalaman yang paling menakutkan  dan bersyukur nyawanya masih panjang dan tidak mematahkan saya  untuk turun ke laut lagi," katanya.

Menurutnya lagi, buat sementara waktu, hasrat untuk ke laut semula terpaksa ditangguhkan seketika kerana dia kehilangan bot dan beberapa barangan lain seperti telefon bimbit serta dompet dengan nilai kerugian yang terpaksa ditanggung berjumlah kira-kira RM15,000.

Susulan kejadian itu, dia berharap ada pihak yang sudi membantunya mencari rezeki semula kerana itu sahaja punca pendapatannya untuk menyara keluarga.
SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: