Thursday, 19 July 2018

Kerajaan Negeri Sasar Tarik Lima Juta Pelancong

SHARE
Ariffin (kiri) ketika menyempunakan Majlis Perasmian Pejabat Baru MATTA Cawangan Terengganu di Dataran Panji, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh: Abu Ubaidah Mohd Noor
Kerajaan negeri yakin dapat mencapai sasaran kunjungan lima juta pelancong dari dalam dan luar negara ke Terengganu sehingga akhir tahun ini bersandarkan keistimewaannya memiliki kepelbagaian produk pelancongan yang cukup lengkap.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan Terengganu memiliki pulau-pulau dan taman marin, jaluran pantai serta tasik yang boleh menarik pelancong.

''Tasik Kenyir di Hulu Terengganu adalah antara destinasi ekopelancongan yang cukup unik menjadi pilihan pelancong sekiranya tidak berpeluang ke pulau-pulau di negeri ini.

“Kebiasaannya, ada empat bulan pulau terpaksa ditutup atas faktor keselamatan pelancong,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Baru Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Negeri Terengganu di Dataran Panji, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Presiden MATTA, Dato’ Tan Kok Liang dan Pengerusi MATTA Cawangan Negeri Terengganu, Roslan Idris.

Menurut beliau, pakaj-pakej lawatan boleh diasimilasikan antara destinasi pulau dengan destinasi seni budaya dan warisan, antara destinasi alam semulajadi dengan destinasi pantai malah boleh juga memperkenalkan destinasi Bandaraya Warisan Persisir Air dengan destinasi tasik.

Katanya, beliau yakin formulasi sebegini bakal menzahirkan lebih keterujaan kepada pengunjung untuk mengetahui keunikan yang terdapat di negeri ini.


Dalam pada itu Ariffin berkata, kerajaan negeri juga akan mempergiatkan usaha dalam memastikan prasarana pelancongan menepati keperluan kemudahsampaian dan keselesaan pelancong.

“Negara kita amnya dan Terengganu khususnya telah dikenali sebagai destinasi mesra muslim.

“Apa yang penting adalah untuk kita menerapkan prinsip iaitu dari segi kepatuhan kepada sistem dan nilai yang ditetapkan oleh syarak, kegiatan yang mendapat keredaaan Allah S.W.T dan kesan yang diperoleh hasil kegiatan pasca pelancongan,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: