Monday, 9 July 2018

Kerajaan Negeri Akan Selesaikan Projek Padang Setengga

SHARE


Kerajaan negeri akan memastikan Projek Perumahan Padang Setengga fasa tiga dan empat yang terbengkalai sejak 2010 diselesaikan secepat mungkin. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan dan akan menyelesaikannya selaras dengan hasrat terkandung dalam Manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang mahu setiap rakyat nemiliki rumah kediaman sendiri.

Katanya, projek berkenaan yang melibatkan 234 pembeli, antara empat projek `sakit' di negeri ini  yang akan diberi keutamaan supaya dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Kita sudah adakan perbincangan dengan penasihat undang-undang yang dilantik dan akan ambil tanggungjawab mengikut lunas undang-undang selepas kes syarikat kontrator terdahulu selesai di mahkamah pada bulan Oktober ini.

"Keputusan baharu berkenaan projek ini kita akan buat dan pastikan tidak bercanggah dengan undang-undang yang ada termasuk tidak membebankan pembeli dengan kos tambahan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakuan tinjauan ke tapak projek perumahan Padang Setengga, di Kuala Berang, hari ini.



Difahamkan, projek di kawasan perumahan Padang Setengge bagi fasa tiga dan empat itu dilaksanakan secara berperingkat bermula sekitar 2011 melibatkan 234 unit rumah dan berdasarkan jadual, pemaju sepatutnya menyerahkan kunci kepada pembeli pada Ogos 2014.

Seorang pembeli rumah, Haslina Masni Hashim, 40, mengharapkan ada sinar selepas menunggu hampir lapan tahun untuk mempunyai rumah sendiri.

“Saya mula menandatangani pembelian rumah ini sekitar 2010 dengan harga sekitar RM89,000, dan mula membayar secara  berperingkat atas permintaan kontraktor pada masa berkenaan.

"Kerja pembinaannya bermula setahun selepas itu dan dijangka siap tahun 2014. Malangnya, rumahnya antara yang masih terbengkalai sehingga kini,"katanya.

Haslina  yang juga ibu tunggal berkata, sehingga kini nasib pembeli masih lagi terumbang-ambing dan dia juga sudah menghubungi pemaju, namun alasan yang diberikan adalah kegagalan kontraktor.

"Saya berharap kepada kerajaan negeri yang baharu dapat mendapatkan keadilan kepada saya dan pembeli yang lain, selesaikanlah dengan segera supaya kami dapat tinggal di rumah sendiri selepas sekian lama menunggu,"ujarnya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: