Sunday, 15 July 2018

Kementerian Kesihatan Pantau 24 Projek ‘Sakit’

SHARE

Dr Dzulkefly melawat adik Nur Zulaikha Khumaira di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi perhatian serius dan memantau perkembangan perlaksanaan projek-projek di bawah kementerian itu bagi memastikan semua perancangan dapat disempurnakan mengikut jadual.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga kini terdapat 24 projek untuk kementerian itu termasuk klinik dan hospital di seluruh negara yang dikategorikan sebagai projek ‘sakit’.

Katanya, projek yang dikelaskan sebagai bermasalah itu melibatkan kerja-kerja membaik pulih, menambah baik serta pembinaan baru klinik dan hospital oleh kontraktor dilantik sebelum ini yang mengalami kelewatan untuk disiapkan.

Disamping itu, beliau mengingatkan mana-mana kontraktor yang gagal menyiapkan projek yang diamanahkan mengikut jadual bakal berdepan tindakan oleh kementerian berkenaan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan kontraktor yang melaksanakan projek pembinaan infra, fasiliti hospital dan klinik dibawah KKM kerana amaran telah diberikan kepada kontraktor terlibat supaya jangan membelakangkan kepentingan rakyat,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dalam rangka lawatan ke Negeri Terengganu bersempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di HSNZ, hari ini.

Antara 12 projek klinik yang sedang dalam pemantauan termasuk Klinik Kesihatan (KK) Puchong, KK Gombak Setia, KK Gial, KK Nilai, KK Taman Ungku Tun Aminah, KK Sungai Tekam, KK Kampung Raja Besut, KK Karak serta Klinik Desa Air Tawar.

Turut terlibat ialah 10 projek hospital antaranya Hospital Rembau, Hospital Kuala Krai, Blok Psikiatri HSNZ Kuala Terengganu serta Hospital Sri Aman.

Dan juga dua projek kuarters KKM iaitu Kuarters KK Cameron Highlands dan Kuarters KK Nabawan.

Dalam perkembangan lain, katanya kerajaan Pusat akan bekerjasama termasuk memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan penderitaan yang ditanggung kanak-kanak malang, Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, yang putus lengan kiri selepas bajunya tersangkut pada rim motosikal ketika membonceng dalam kejadian di Kampung Binjai Bongkok, Marang, Jumaat lalu.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: