Tuesday, 17 July 2018

Imtiaz YT Jadi Rebutan

SHARE
Maliaman Kassim menyampaikan ucapan perasmian.

Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) berjaya membuktikan sebagai antara sekolah terbaik dan menjadi rebutan pelajar serta ibu bapa saban tahun.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, prestasi itu berdasarkan  kecemerlangan yang diraih dalam pelbagai bidang di peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pengurusan YT dan guru-guru Imtiaz di seluruh negeri atas kejayaan sekolah tersebut.

"Pelajar yang berjaya ke sini amat beruntung dapat menuntut ilmu di lapangan serba hebat. Guru-guru di sini mempunyai cabaran besar untuk mencurahkan ilmu kepada anak-anak yang dahagakan pengisian (ilmu)," katanya ketika merasmikan majlis penutup Program Khas Asasi Imtiaz di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, hari ini.
Sebahagian pelajar yang menamatkan program asasi Tingkatan Satu.

Seramai 394 pelajar Tingkatan Satu berjaya menamatkan progam asasi selama enam bulan di enam daripada lapan SM mtiaz seluruh Terengganu iaitu di SM Imtiaz Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Setiu, Besut dan Kuala Berang.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Imtiaz YT, Mazlan Che Wil berkata, usaha Imtiaz itu sebagai 'turning point' untuk mengangkat agama Islam di mata dunia.

"Progam Khas Asasi Imtiaz merupakan asas untuk mengukuhkan jati diri dan kefahaman al-Quran dalam diri pelajar.

"Melalui progam ini, kita juga memperkenalkan pelajar tentang penguasaan bahasa arab, asas-asas personaliti dan pengurusan diri serta asas komunikasi supaya dapat melahirkan pelajar dengan jiwa pemimpin dan pencipta," katanya.

Tiga elemen penting diterapkan dalam progam asasi iaitu quranik, akademik dan itihadik dalam usaha melahirkan pelajar Imtiaz yang hafiz, profesional dan berdaya saing.

Maliaman bersama Mazlan diiringi pengetua SMi Kuala Terengganu, Md. Imran mendengar penerangan inovasi pelajar.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: