Wednesday, 18 July 2018

Hospital Pengajar UniSZA Siap Sepenuhnya 2020

SHARE


Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang sedang dalam pembinaan

Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang memperkasakan lagi peranan Fakulti Perubatan UniSZA kini mencapai 25 peratus kerja pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, hospital setinggi enam tingkat di tapak seluas 12 hektar melibatkan kos RM600 juta masih dalam proses pembinaan dan setakat ini berjalan dengan lancar.

“Jika ada dakwaan yang mengatakan bahawa projek ini salah satu ‘projek sakit', itu adalah tidak benar kerana pembinaannya sedang berjalan dengan baik di bawah pantauan pihak UniSZA.

“Pihak kami sentiasa berhubung dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mengadakan mesyuarat setiap bulan bersama pihak yang terlibat bagi memastikan pembinaan salah satu mercu UniSZA berjalan lancar tanpa masalah,” ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Syarahan Tahunan Naib Canselor Dan Anugerah Kecemerlangan Staf Serta Jamuan Semoena Hari Raya Aidil Fitri UniSZA di Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Pro Canselor, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Yusof  Noor; Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi UniSZA.

Ahmad Zubaidi berkata, projek yang melibatkan dua fasa itu akan menempatkan 200 katil yang dilengkapi dengan kemudahan terkini pada peringkat pertama dengan dijangka akan mengambil seramai 1,540 kakitangan pelbagai jawatan dan daripada jumlah itu seramai 70 kakitangan kumpulan pertama akan diambil pada 2019.


Sementara itu, UniSZA  turut meluluskan bajet sebanyak RM1 juta bagi memulakan pelaksanaan strategi peningkatan reputasi akademik dan penyelidikan UniSZA di peringkat Asia di bawah pemantauan Pusat Perancangan Strategik dan Pengurusan Kualiti (SPaQM).

“Bajet ini akan digunakan untuk mengalakkan pelaksanaan aktiviti yang dapat meningkatkan kualiti persekitaran serta meningkatkan keternampakan UniSZA di peringkat global.

“Segala strategi ini merupakan sebahagian daripada persediaan UniSZA menghadapi penilaian penarafan ‘QS Rating’ pada tahun 2020 dalam menentukan keberadaannya di mata dunia,” kata Ahmad Zubaidi.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: