Tuesday, 17 July 2018

FAMA Hulu Terengganu Catat Nilai Jualan RM2.8 Juta Dalam Tempoh Setengah Tahun

SHARE


Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA) mencatatkan nilai jualan keseluruhan bagi pasar tani di Hulu Terengganu sebanyak RM2.8 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pegawai FAMA Daerah Hulu Terengganu, Mohd Zulkhairi  Razak berkata pihaknya yakin sasaran hasil nilai jualan sebanyak RM4.64 juta pada tahun ini dapat dicapai berdasarkan jumlah setengah tahun pertama yang diperolehi itu.

Tambahnya lagi, ini turut dipengaruhi dengan kadar kuasa beli tertinggi di Pasar Tani Kuala Ping serta Pasar Tani Kuala Berang yang akan memastikan ianya tercapai.

"Di Hulu Terengganu terdapat 117 peniaga pasar tani iaitu 48 orang di Pasar Tani Kuala Berang, Pasar Tani Kuala Ping( 34 orang), Pasar Tani Bukit Perah(20 orang) dan Pasar Tani Menerong seramai 15 orang.

"Bagi tempoh Januari hingga Jun, nilai jualan tertinggi ialah pada bulan Mei iaitu sebanyak RM519,410 diikuti April (RM517,350), Mac (RM482,800), Jun (RM471,750) dan seterusnya Januari serta  Februari.

"Pihak kami mencatatkan nilai jualan paling tinggi pada bulan Mei dan ini membuktikan pasar tani di daerah ini menjadi pilihan utama penduduk setempat untuk dapatkan barangan keperluan sepanjang Ramadan baru-baru ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Menurutnya lagi, sebuah lagi pasar tani yang baharu iaitu di Bukit Perah yang dibuka sekitar pertengahan tahun lepas menjadi pasar tani 'bongsu'bagi daerah Hulu Terengganu.

Untuk rekod, sepanjang lima tahun bermula 2013 hingga 2017, nilai hasil jualan tahunan mencatatkan peningkatan setiap tahun iaitu RM1.73 juta, RM1.92 juta, RM2.07 juta, RM2.37 juta dan RM3.16 juta pada tahun lepas.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: