Tuesday, 24 July 2018

Bas Kite Promosi Terengganu Sepanjang Sukma Perak

SHARE
Wartawan Harian Metro, Zaid Salim menerima hadiah utama yang disampaikan A.Rahman selepas berjaya mengumpul jatuhan pin tertinggi bagi kategori VIP dalam pertandingan boling  di Pusat Boling Paya Bunga Sentral Kuala Terengganu.

Terengganu akan membawa 'Bas Kite' mengelilingi Bandar Ipoh, Perak sebagai inisiatif mempromosi pelancongan negeri sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Perak tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, bas yang dikendalikan Syarikat Cas Ligas, anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memaparkan`Keindahan Terengganu’  itu akan bergerak di sekitar bandar, selain membawa atlet dari penginapan ke pusat latihan serta venue pertandingan bermula seminggu sebelum kejohanan sehingga tamat temasya itu.

“Bas cas ligas akan bergerak di Ipoh sebagai satu promosi yang unik. Setakat ini Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama PMINT akan menyediakan sebuah bas dan mungkin menambah kepada dua bergantung kepada keperluan semasa,"katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Pertandingan Boling Bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, di Pusat Boling Paya Bunga Sentral, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Dalam pada itu, jabatan pelancongan negeri selaku bapa angkat kepada pasukan boling Terengganu mahu memastikan pegawai serta atlet yang mewakili acara itu mampu menjadi duta pelancongan dalam mempromosikan keunikan dan produk istimewa di Terengganu.


Sukma Perak bakal berlangsung pada 12 hingga 22 September ini menjadi temasya sukan negara terbesar kali ke-19 yang menghimpunkan atlet dari seluruh Malaysia untuk bersaing dalam 29 sukan.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: