Monday, 9 July 2018

18,000 Pengunjung Warnai Sambutan Aidilfitri Parlimen Dungun

SHARE




Seramai 18,000 pengunjung dari pelbagai kaum memeriahkan Sambutan Hari Raya Parlimen Dungun yang dianjurkan oleh Pejabat Parlimen PAS Kawasan Dungun, di Dewan Merdeka (Arena Square), semalam.

Majlis dimulakan pada jam 10 pagi sehingga 3 petang turut dimeriahkan dengan persembahan pemuzik dari kumpulan Seedrain, Sahabat Akustika dan beberapa lagi penggiat seni tempatan.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri , Yahaya Ali, Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato' Husain Awang dan  Ahli Parlimen Dungun,Wan Hassan Mohd Ramli.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Saiful Bahri Mamat, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, Timbalan Pengerusi Perkasa Negeri, Dato' Mastura Othman dan Pegawai Daerah Dungun, Ibrahim Mohamad.

Sebanyak 46 buah kawah gulai daging telah disediakan untuk pengunjung yang hadir selain juadah tradisional seperti lemang, nasi minyak , nasi dagang dan beberapa lagi makanan tradisional.

                                       
                                 
Wan Hassan berkata, kehadiran pengunjung pada majlis tersebut amat memberangsangkan dan beliau terharu dengan sambutan yang diberikan sekali gus menunjukkan semangat perpaduan yang jitu di kalangan masayarakat setempat.

"Kita boleh lihat pengunjung dari pelbagai bangsa datang ke majlis ini dan duduk semeja bersama masyarakat melayu tanpa segan silu. Ini menunjukkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat di daerah ini masih subur dan ini yang patut diamalkan oleh semua," katanya.

Wan Hassan turut memuji kerjasama yang telah ditunjukkan oleh 600 orang petugas yang dilantik bagi memastikan perjalanan majlis berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Petugas yang dilantik telah menunjukkan semangat bekerjasama di kalangan mereka dan kita lihat mereka bekerja tanpa mengira penat lelah untuk menjayakan program sebesar ini. Komitmen
yang ditunjukkan oleh setiap petugas amatlah dihargai," katanya.

Menurut Wan Hassan, dia amat berpuas hati dengan kelancaran perjalanan majlis tersebut dan menurutnya sambutan yang serupa akan dibuat pada tahun akan datang dengan skala yang lebih besar.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengagihkan duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir sebagai kemuncak dan meraikan golongan itu pada sambutan tersebut.






SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: