Saturday, 21 July 2018

124 Penagih Ditahan Dalam Ops Sarang

SHARE
Mohd Said Ibrahim
Lima wanita antara 124 penagih dan pengedar dadah yang ditahan dalam Ops Sarang Bersepadu di sekitar Kemaman selama dua hari berakhir malam semalam.

Dalam operasi melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Kemaman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu itu, kesemua suspek diberkas dalam 92 serbuan yang dilakukan.

Operasi yang bermula jam 2 pagi kelmarin itu dijalankan lima pegawai dan 49 anggota polis diketuai Pegawai Turus Risikan, Operasi dan Tahanan IPK Terengganu, Asisten Superintendan (ASP) Meor Hisyamudin Al Hafiz.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kesemua individu termasuk lima wanita yang ditahan atas pelbagai kesalahan itu berusia antara 20 hingga 60 tahun dan majoriti mereka bekerja sebagai buruh dan penganggur.

"Operasi diadakan untuk membasmi kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di seluruh Kemaman seterusnya mengurangkan kadar jenayah akibat dadah selain dapat memastikan keselamatan dan kententeraman awam terjamin," katanya.

Katanya, polis membuat tangkapan terhadap suspek selepas selesai memeriksa seramai 149 orang individu yang ditahan.

Antara penagih yang dicekup dalam ops tersebut.

Tambahnya, daripada 124 orang suspek yang diberkas dalam operasi berkenaan adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing.

"Dengan penahanan yang dibuat kita turut rampas sejumlah dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM2,000," katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu pihaknya telah merampas dadah jenis pil kuda sebanyak 20.35 gram, heroin (10.27 gram), syabu (7.83 gram), eramin 5 (tiga biji) serta methadone sebanyak 15 milimeter (ml) dan air ketum (100 ml).

Keadaan sarang penagih yang diserbu oleh polis .

Daripada keseluruhan tangkapan, Mohd Said berkata, satu kes melibatkan dua tangkapan dipercayai mempunyai bekalan dadah sementara 13 kes yang melibatkan  16 tangkapan dipercayai memiliki dadah dan hasil saringan air kencing yang dilakukan mendapati seramai 108 individu positif dadah.

Penagih yang ditahan dibawa untuk siasatan lanjut

Bagi membantu siasatan, suspek yang ditahan di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952 direman selama tujuh hari dan reman empat terhadap suspek yang disyaki melakukan kesalahan bagi Seksyen 12(3) akta sama.

Kata Mohd Said lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3), Seksyen 15 (1)A yang kesemua di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 6 Akta Racun 1952.
SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: