Thursday, 5 July 2018

1,000 Iringi Jenazah Adam Rayqal

SHARE
Solat diketuai Imam masjid, Shafiq Haqimi Ambak.


Kira-kira 1,000 orang hadir menyempurnakan solat jenazah Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, bayi berusia lima bulan yang meninggal dunia di rumah pengasuhnya, di Masjid Al- Mukhtafi Billah Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Jenazah Adam kemudiannya dikebumikan di tanah perkuburan Ladang Tok Pelam sejurus selesai solat jenazah itu.

Sebelum itu, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faezah Tuan Ab. Rahman turut meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa di rumah keluarga di Kampung Chendering, Kuala Terengganu. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi  Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan
Abdullah.
Mohd Sufi membawa jenazah Adam.

Bapanya, Mohd Sufi Naeif Mohd Pauzi ketika ditemui pemberita, merakamkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas usaha masyarakat dalam pencarian Adam.

"Walaupun kita mengharapkan hasil yang lebih baik, Tetapi, ia telah ditentukan. Kami mengharapkan doa daripada semua supaya kami dapat bertemu di syurga.

"Sekiranya masyarakat ada berkongsi gambar almarhum Adam yang tidak sepatutnya, saya mohon agar dapat menghormati dan menjaga aib kami dan almarhum," katanya.

Jenazah Adam tiba dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 9.25 malam tadi bersama ibu bapanya dan dibawa ke rumah datuknya di Chendering terlebih dahulu.

Seterusnya, urusan pengebumian disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ladang dan selesai pada jam 10.30 malam.


Dalam kejadian menggemparkan negara semalam, bayi lelaki berusia lima bulan itu dilaporkan hilang pada Selasa sebelum mayatnya ditemukan oleh anggota polis dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya di Batu Caves, lewat malam yang sama.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: