Tuesday, 5 June 2018

Terengganu Rekod 1,077 Kes Ingkar Perintah Nafkah

SHARE
Replika cek bantuan pendahuluan nafkah RM200,000 daripada Maidam kepada Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.Tengku Mohd Syamim Tengku Ismail

Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Terengganu merekodkan 1,077 kes ingkar perintah nafkah sejak 2009 hingga 2017.

Daripada jumlah itu, sebanyak  421 kes difailkan ke Mahkamah Syariah Terengganu bagi tujuan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, berdasarkan statistik kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah anak oleh BSK Jabatan Kehakiman Syariah di Mahkamah Syariah itu jelas menunjukkan masalah ingkar perintah nafkah menjadi satu masalah yang serius dewasa ini yang boleh memberi kesan kepada pada masa depan anak-anak.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh usaha murni dan komitmen Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dalam menyalurkan bantuan pendahuluan nafkah kepada ibu-ibu dan anak-anak yang tidak mendapat nafkah ini. Soal kerukunan keluarga rumahtangga dan kesejahteraan keluarga rakyat Terengganu menjadi agenda utama kerajaan negeri.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuai dan gagal mematuhi serta melaksanakan perintah Mahkamah Syariah. Amat tepat untuk saya nyatakan bahawa program penyaluran dana yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu ini adalah merupakan satu agenda yang amat tepat berteapatan dengan manifesto pentadbiran kerajaan negeri yang menggariskan Karnival kahwin Kali pertama Percuma di mana elemen pemberian nafkah kepada pasangan dan juga anak adalah dititik beratkan dalam pembangunan kekeluargaan,”katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas melancarkan Majlis Penyampaian bantuan pendahuluan Nafkah Siri 1/2018, di Bilik Gerakan, Tingkat 5, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Pada kali ini, seramai 34 penerima mendapat bantuan siri pertama yang berjumlah keseluruhan RM50,050 melibatkan asnaf dan fakir miskin menerusi wang zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melalui Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.


Maidam memperuntukkan wang bantuan untuk diagihkan kepada ibu dan anak berkelayakan yang berdepan masalah tunggakan nafkah anak di Mahkamah Syariah Terengganu sejak 2014 lagi.

Selain itu, beliau juga mahu menarik perhatian semua bahawa antara manifesto ke-12 yang akan diperkenalkan oleh kerajaan negeri adalah menyediakan kad sejahtera RM500 setahun bagi golongan yang berpendapatan rendah.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: