Sunday, 24 June 2018

Sentuhan Kasih Petronas Peruntuk RM1 Juta Bantu Golongan Miskin

SHARE

Program Sentuhan Kasih Petronas memperuntukkan RM1 juta untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di seluruh Terengganu.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati dapat membantu golongan miskin ba mengukuhkan lagi komitmen bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat di negeri Terengganu.

“Sumbangan tersebut merangkumi pemberian bantuan makanan asas bernilai sebanyak RM80 setiap bulan selama setahun bermula Mei tahun ini hingga April tahun depan.

“Sumbangan ini akan dibahagikan kepada 400 keluarga di tiga daerah iaitu di Kemaman, Dungun dan Kuala Nerus serta sebagai tambahan pula setiap keluarga turut menerima bantuan bernilai RM240 sempena musim perayaan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri sempena lawatan kerja Menteri Besar Terengganu di tempat letak kereta Astaka, Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya.

Mohd Hasnan berkata, peruntukan RM1 juta itu juga merangkumi pelaksanaan program pembangunan modal insan melibatkan 100 wanita daripada keluarga nelayan dan ibu tunggal di Kuala Nerus sepanjang setahun.


“Melalui program dengan kerjasama Yayasan MyKasih, para peserta didedahkan dengan kemahiran dalam bidang keusahawanan sebagai salah satu usaha meningkatkan taraf hidup mereka.

“Terengganu merupakan satu daripada lapan buah negeri yang mendapat faedah daripada program bantuan makanan,"katanya.

Antara lapan negeri tersebut adalah Terengganu, Melaka, Johor, Kedah, Selangor, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang terbabit dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM7 juta.

Menurutnya, program bantuan itu juga dapat membantu meringankan beban golongan orang kurang berkemampuan di seluruh negara termasuk Terengganu.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: