Sunday, 24 June 2018

Projek Bandar Baru Kijal Diteruskan

SHARE

Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembangunan Bandar Baru Kijal yang sedang dalam pembinaan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan juga akan mengkaji dan memperincikan semula projek yang belum berjalan.

“Kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini meluluskan peruntukan kira-kira RM250 juta untuk pembangunan di Bandar Baru Kijal.

"Mana-mana projek dalam Terengganu ini yang sedang berjalan juga akan diteruskan sehingga selesai. Sekiranya projek mendatangkan manfaat dan hasil yang baik kepada rakyat kita akan luluskan dan teruskan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sekepas meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di tempat letak kereta Astaka, Kemaman, hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, kerajaan negeri sebelum ini juga sudah memutuskan untuk meneruskan projek yang sedang berjalan di seluruh negeri ini.

"Projek yang belum berjalan akan kita kaji dalam pelbagai aspek termasuk melihat dari segi  keadaan kewangan negeri dan sebagainya,"katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, perkhidmatan bas Kemaman ‘Shuttle’ akan diwujudkan kembali demi menyediakan kemudahan penduduk Kemaman.

"Kemaman Shuttle ini akan diwujudkan kembali dengan beberapa perubahan yang akan diperincikan oleh Yang Berhormat di sini.

“Kita akan kaji berapa buah bas yang perlu termasuk kekerapan laluan termasuk kepada penduduk di luar bandar Kemaman,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan akan meneruskan perkhidmatan bas percuma di daerah lain demi meringankan beban masyarakat.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: