Saturday, 16 June 2018

Polis Terengganu Beri Lebih Tumpuan Kawasan ‘Blackspot’ Sepanjang Op Selamat

SHARE

Polis Terengganu akan memberi lebih tumpuan kepada kawasan 'blackspot' yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlakunya kemalangan dalam Op Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri tahun ini.

Antara lokasi itu ialah Kilometer 3 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Jalan Kamaruddin) di Kuala Terengganu, KM 72-KM 73 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Pulau Serai) Dungun serta KM 170 Jalan Jerangau-Jabor (Padang Kubu) di Kemaman.

Ketua Polis negeri, Dato’ Aidi Ismail berkata, dalam masa yang sama Polis Kontijen Terengganu tidak akan mengabaikan kawasan bukan sasaran.

"Kita kategorikan kawasan ini sebagai 'blackspot' kerana kebanyakan kes kemalangan berlaku di situ, sebab itu kita beri tumpuan dan pemantauan yang lebih di kawasan ini,” ujarnya.

Aidi berkata, aliran trafik dijangka akan menjadi sesak pada 12 hingga 15 Jun dan 18 hingga 19 Jun ini dengan pertambahan kenderaan atas jalan raya sebanyak tiga kali ganda berbanding hari biasa.

“Antara jalan yang dijangka menjadi sesak termasuk Bandar Chukai, Kemaman serta Bandar Dungun, Dungun.

“Bagi daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pula kemungkinan akan berlaku kesesakan di Jalan Tengku Mizan (Hadapan Mydin Mall), Jambatan Sultan Mahmud, Jalan Banggol Air Lilih dan Plaza Tol Kuala Terengganu.

“Manakala, Besut (Pekan Jertih), Marang (Persimpangan Batangan/Jambatan Marang) dan Setiu (Persimpangan Chalok, Bandar permaisuri dan Guntung,” ujarnya.

Katanya, bagi mengatasi kesesakan jalan raya di musim perayaan ini, anggota bertanggungjawab mengawal lalu lintas akan ditempatkan di persimpangan lampu isyarat yang sesak.

“Kita juga akan mengadakan laluan terus di persimpangan utama dan mengenalpasti jalan alternatif.

“Malah, anggota trafik juga akan memantau jalan-jalan yang sesak dan akan mengambil tindakan perlu bagi memastikan pengguna jalan raya tidak terperangkap dalam kesesakan seperti membuat penarikan di persimpangan dan lampu isyarat, laluan akan dibuat selari serta membuat lencongan sekiranya perlu,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: