Wednesday, 13 June 2018

Polis Kemaman Keluar 1,099 Saman Sepanjang Ops Selamat

SHARE



Anggota trafik memeriksa pengenalan diri pengguna jalan raya


Polis Kemaman mengeluarkan 1,099 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang Ops Selamat Aidil Fitri yang bermula 8 Jun lalu hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, sebanyak 21 kes kemalangan direkodkan sepanjang Ops Selamat dijalankan .

“Daripada jumlah itu hanya satu kes yang melibatkan kemalangan maut dengan mencatatkan satu kematian penunggang motosikal di Kerteh dua hari lalu.

“Kesemua saman terbabit merangkumi enam kesalahan yang diberi penekanan pada sepanjang Ops Selamat seperti memandu melebihi had laju, memotong garisan berkembar, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat dan memandu menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengetuai Ops Selamat di Bandar Chukai, Kemaman bersama 27 anggota trafik IPD Kemaman serta iftar Ramadan, malam tadi.

Menurut Said, polis akan terus melipatgandakan rondaan di sepanjang jalan kawasan perbandaran dan Persekutuan bagi memastikan semua pemandu dan pengguna mematuhi peraturan.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan sentiasa berwaspada ketika memandu khususnya mereka yang menggunakan laluan pantai di kawasan Kerteh ekoran kerja-kerja naik taraf jalan sedang dijalankan.


“Polis juga akan mempertingkatkan rondaan di beberapa lokasi yang kerap berlaku kemalangan bagi memastikan trafik sentiasa lancar dan selamat,” katanya.

Selain itu, polis juga akan memberi tumpuan khas dengan melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan-kawasan kediaman yang ditinggalkan orang awam yang pulang ke kampung.

Selain itu, polis juga akan menggerakkan pasukan rondaan bermotor di semua kawasan kediaman penduduk bagi mengelak berlakunya kes jenayah atau pecah rumah sepanjang musim perayaan.

Said berkata, penduduk yang ingin meninggalkan rumah boleh melaporkan kepada polis berhampiran bagi memudahkan pihaknya melakukan pemantauan di kawasan rumah masing-masing.

Katanya, bagi memastikan kelancaran Ops Selamat tahun ini seramai 320 anggota dan pegawai ditugaskan di seluruh daerah berkenaan.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: