Tuesday, 26 June 2018

Pemberian Air Percuma Sasar Golongan Berpendapatan Rendah

SHARE

Mohd Nor 

Kerajaan negeri  tidak memberi jaminan untuk memberikan air 20 meter padu (m3) setiap bulan secara percuma kepada semua golongan, tetapi mensasarkan hanya golongan miskin dan berpendapatan rendah sebagai satu penyelesaian untuk meringankan beban kos sara hidup golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata perkara ini telah diputuskan melalui kajian pihaknya yang terperinci dalam membuat manifesto dan tidak mahu memberikan satu janji yang sangat besar, dianggap melampau dalam berjanji yang akhirnya membebankan kewangan negeri, dan rakyat turut merasa tertipu.

Jelasnya, kerajaan yang baharu, sebelum ini telah menawarkan dalam manifesto PRU 14 kepada rakyat Terengganu untuk memberi 20 m3 air percuma kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah sahaja. Ini jelas tertulis dalam tawaran yang kelapan dalam manifesto yang memfokuskan kepada golongan miskin, berpendapatan rendah dalam negeri.

“PAS dalam manifestonya juga tidak pernah berjanji untuk melaksanakannya segera atau dalam tempoh 100 hari pemerintahan atau waktu-waktu tertentu tetapi dilakukan secara berperingkat. Walaupun demikian, kerajaan negeri agak cepat bertindak untuk melaksanakan segera tawaran ini dalam tempoh 30 hari supaya rakyat berpendapatan rendah dan miskin dapat mengecapi janji ini.

“Pihak kami meletakkan asas dalam pembangunan ekonomi rakyat dan kebajikan hidup mereka berteraskan Islam. Ekonomi Islam meletakkan keutamaan dalam sumbangan kebajikan dan bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Ekonomi Islam meletakkan asas kawalan agar jangan kekayaan itu berlegar antara golongan kaya dan mewah sahaja,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, pada peringkat permulaan, tawaran ini akan dikecapi oleh golongan miskin yang disenaraikan dalam e-Kasih sahaja dahulu. Sebagaimana yang Kerajaan Negeri Terengganu tekankan sebelum ini, apa-apa sistem tinggalan kerajaan terdahulu yang difikirkan baik, akan diguna pakai sebagai rujukan, sebelum sebarang perubahan dilakukan. 

“Kerajaan negeri sedang merancang untuk mengkaji semula senarai e-Kasih, di samping itu sedang membina mekanisma baru untuk mengenalpasti golongan miskin dan berpendapatan rendah yang tiada dalam senarai e-Kasih bagi sama-sama menikmati kemudahan ini,”kata Mohd Nor.

Beliau turut berkata perkara ini boleh dilihat ketika pemerintahan Kerajaan BN Terengganu penggal lalu, yang telah merealisasi air percuma kepada rakyat yang menggunakan kurang daripada 21 m3 sahaja di penghujung kepimpinan Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

“Sesiapa yang menggunakan air lebih daripada 20 m3, dia mesti membayar sepenuhnya. Contohnya penggunaan 19 m3 adalah percuma, tetapi apabila digunakan 22 m3, anda mesti membayar sepenuhnya harga 22 m3 itu. Cuba bayangkan, satu pasangan miskin yang mempunyai anak yang ramai, pasti tahap penggunaan airnya tinggi maka mereka terpaksa membayarnya penuh dengan sebab penggunaan melebihi daripada 20 m3.

“ Bandingkan pula pasangan yang kaya hanya tinggal berdua atau memiliki keluarga kecil yang tahap penggunaan airnya sedikit, maka dia tidak perlu membayar dengan sebab penggunaan air kurang daripada 20 m3. Mekanisma ini jelas hanya memberi peluang golongan kaya seperti contoh di atas untuk mendapat kelebihan daripada tawaran ini, tidak kepada keluarga miskin yang besar. Adil atau tidak mekanisma,”ujarnya.

Mohd Nor juga meminta supaya  rakyat Terengganu bersabar untuk melihat kejayaan perlaksanaan tawaran ini agar dapat dirasai oleh golongan yang benar-benar layak untuk meringankan beban hidup keluarga di samping menyeru agar segala maklumat berkenaan perkara melibatkan dasar kerajaan negeri, rakyat mendapatkannya melalui saluran rasmi, dan bukannya khabar-khabar angin di alam maya yang mungkin dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: