Monday, 11 June 2018

Ops Sisih JPJ Kesan Lapan Kesalahan Pemandu, Pemilik Bas

SHARE
Abdul Rahman melakukan pemeriksaan sempena Ops HRA JPJ di Terminal Bas MBKT. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim


Sebanyak lapan kesalahan dikesan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam Ops Sisih 3/2018 melibatkan pemandu dan pemilik bas sejak dilancarkan bermula 1 Jun lalu hingga semalam.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, seramai 270 orang pemandu bas dari tujuh buah syarikat telah diperiksa dan terdapat lapan kes aktif iaitu lima kes melibatkan pemilik bas dan tiga kes bagi pemandu bas.

"Lima kes adalah berkaitan cermin retak yang melibatkan syarikat bas dan pemiliknya dinasihatkan agar segera menyelesaikan kes tersebut bagi mengelakkan sebarang komplikasi di masa depan.

"Manakala tiga lagi kes melibatkan satu kes penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu dan dua kes positif dadah jenis Methamphetamine melalui ujian air kencing yang dijalankan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas  melancarkan Ops HRA 2018 dan melakukan pemeriksaan bas di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, malam tadi.

Tambah Abdul Rahman lagi, larangan kenderaan berat juga akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan Polis Diraja Malaysia(PDRM) pada 13-14 Jun dan 23-24 Jun dengan tujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.


"Sekatan penuh berkuatkuasa terhadap kenderaan berat seperti low-loader yang membawa bahan binaan, kenderaan motor yang melebihi BDM 7500 kilogram, lori pengangkut rendah, ploe trailer, platform trailer, jentera berat beroda serta traktor.

"Kenderaan berat yang membawa bahan galian dan muatan balak juga termasuk dalam kategori larangan penuh.Namun pengecualian diberikan kepada kenderaan berat tertentu yang membawa bekalan makanan contohnya sayuran dan sebagainya,"katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: