Monday, 4 June 2018

Kembara 200km Pengemudi UniSZA Agih Makanan Sahur

SHARE



Sebanyak 200 juadah sahur diagihkan kepada petugas yang bekerja pada waktu malam di sepanjang jalan bermula Ladang Pasir Akar, Besut sehingga ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus sempena Kembara Sahur Persatuan Kakitangan Pengurusan dan Profesional (Pengemudi), UniSZA.

Lebih 20 tempat membabitkan perjalanan 200 kilometer menjadi  lokasi persinggahan 10 ahli Pengemudi yang menyertai Kembara Sahur itu  untuk mengedar juadah sahur yang bermula sekitar jam 10 malam sehingga 5 pagi.









Pengerusinya, Mohd Termizi Aziz berkata, program Kembara Sahur itu merupakan sebahagian daripada program
kemasyarakatan sempenan Ramadan oleh Pengemudi UniSZA dalam mendekati semua golongan  masyarakat warga kota yang bertugas pada waktu malam.

“200 pek makanan sahur telah kami edarkan di semua tempat antaranya stesen minyak, universiti, balai polis, kedai serbaneka dan hospital.

“Makanan berupa set nasi beriani serta air dan kurma diberikan pada setiap mereka supaya dapat mencuri sedikit masa mengisi perut untuk sahur,” katanya pada program berkenaan.

Tambahnya lagi, kesibukan sehingga terlepas waktu bersahur adalah lumrah bagi rata-rata mereka yang bekerja di waktu malam kerana perhatian yang tinggi terhadap tugasan masing-masing.

Menurut Termizi, program seumpama ini masuk tahun ketiga penganjuran dan akan terus dilaksanakan bagi mendekati petugas  yang melaksanakan kerja mereka dengan penuh dedikasi.

Sementara itu, seorang pegawai keselamatan, Mohd Alif Afizi, 29, berkata, inisiatif mengedarkan pek sahur di tempat kerja sedikit sebanyak memberi kegembiraan buat kakitangan di situ.


“Terharu sebenarnya sebab kerana masih ada yang prihatin dengan kebajikan petugas yang melaksanakan tugas hingga ke dinihari pada Ramadan sehingga adakalanya tidak sempat pun bersahur.

“Kesibukan di pos keselamatan sudah menjadi sebati buat saya dan berkhidmat ketika awal Syawal juga bukan lagi perkara baharu walaupun hanya baru hampir tiga tahun di UniSZA Kampus Besut ini,” katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: