Monday, 25 June 2018

Kembalikan Tanah Rumah Mayat Tionghua Di Jalan Jakar, Kemaman

SHARE
Ahmad Samsuri berswafoto  dengan seorang pengunjung Tionghua di majlis hari raya. Foto oleh Aliffah Hanisfarhana Suhaidi

Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengembalikan semula tanah rumah mayat kepada Tionghua di Jalan Jakar, Kemaman.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini tanah rumah mayat itu dibenar penggunaanya pada 1999 namun setelah PAS kalah pada 2004 tanah tersebut diambil alih oleh pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Jadi kita ingin kembalikan tanah rumah mayat yang kita usahakan 20 tahun dulu untuk mereka kerana itu adalah hak mereka kerana mereka juga membayar cukai dalam negeri mahupun negara kita,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan hari raya bersama Kaum Tionghua Parlimen Kemaman, di Chukai, Kemaman, malam tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili.



Ahmad Samsuri berkata, apabila terdapat kematian kaum Tionghua akan ada satu rumah transit sebelum mayat berkenaan diproses.

“Mengikut orang Islam apabila ada kematian dalam satu atau dua jam jenazah akan diselesaikan (pengebumian) segera. Bagaimanapun, kaum Cina pula akan simpan mayat dalam tiga hari atau seminggu dan mereka perlu tempat untuk simpan mayat tersebut.

“Tanah rumah mayat yang ada sekarang ini adalah tidak mencukupi dan hanya boleh memuatkan satu mayat sahaja, jikalau berlaku dua kematian itu agak menyukarkan untuk melakukan proses pengebumian,” katanya.

Tambahnya, pihak kerajaan akan berbincang bersama pegawai daerah mekanisma terbaik bagi menyelesaikan masalah itu di Kemaman.

Sementara itu, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan pintu gerbang di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kemaman yang akan menjadi lambang kewujudan dan peranan kepada kaum Cina di Kemaman.

Mengulas mengenai pintu gerbang tersebut, ADUN Chukai, Hanafiah Mat berkata, kemudahan itu akan direka bentuk sama seperti mana pintu gerbang di  kawasan perkampungan masyarakat Tionghua di Kuala Terengganu jika kewangan  bagi membinanya mencukupi.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: