Thursday, 7 June 2018

Karnival Taman Syurga Tarik Orang Ramai Fahami Fungsi Masjid

SHARE


Masjid al-Muktafi Billah Shah (MAMBS) atau lebih dikenali sebagai Masjid Ladang Kuala Terengganu akan menganjurkan Karnival Taman Syurga bermula 7 hingga 10 Julai ini bertempat di perkarangan masjid itu.

Setiausaha Lembaga Pengurusan Masjid MAMBS, Ahmad Azman Tajuddin berkata, Karnival Taman Syurga yang julung kali diadakan itu, mensasarkan menarik orang ramai terutamanya golongan muda untuk memahami fungsi masjid serta menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti seharian selain daripada pusat penyampaian ilmu.

“Malah peranan masjid juga akan diharap boleh dilihat sebagai tempat yang menyediakan persekitaran yang soleh, sekaligus akan memandu masyarakat kearah masyarakat yang damai dan harmoni,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan dengan wakil kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad Azman berkata, antara pengisian karnival yang mendapat sokongan daripada kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah termasuk kuliah, bicara ilmuan, daurah kitab fiqh, sembang selebriti dan diskusi ilmiah.

“Kami juga menyediakan pertandingan seperti E-Sport, Battle of Nasyidian, pertandingan bercerita kisah nabi, pertandingan azan, mewarna dan pertandingan menulis artikel Islam.

“Ada juga pesta buku Islam, pameran jualan, bike meet, derma darah, free market, pemeriksaan kesihatan percuma, memanah, congkak, catur dan karom dimana cetusan idea bagi karnival ini adalah datang dari pegawai-pegawai masjid AMBS sendiri ,”  ujarnya.

Katanya, antara selebriti dan penceramah jemputan yang akan mengisi program-program yang dijadualkan itu ialah pendakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus, Dr Danial Zainal, Adam Corie dan Zul Yahya.

“Orang ramai dialu-alukan untuk  membawa ahli keluarga masing-masing bagi memeriahkan lagi karnival ini sekali gus berpeluang mendapat pemahaman sebenar berkaitan fungsi masjid,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: