Sunday, 27 May 2018

Terengganu Mahu Rampas Juara SUKMA 2018

SHARE


Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri (tengah berbaju hijau) bersama Wan Sukairi turun padang memberi sokongan bersama tetamu kenamaan lain bagi menyaksikan bola sepak akhir Liga Juara-Juara, Liverpool menentang Real Madrid dalam Program 'Meh Tengok Bola' di Gelanggang Budaya Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, awal pagi tadi. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Terengganu akan memastikan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) XIX 2018 di Perak pada September ini menjadi milik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan mengatur persiapan serta perancangan rapi bagi menghadapi temasya tidak lama lagi itu.

Katanya, Terengganu yang sebelum ini gah dalam persada sukan tanah air sudah dua kali gagal mempertahankan kejuaraan SUKMA pada temasya terdahulu. Kali terakhir Terengganu muncul juara sukan dwitahunan itu adalah pada 2012, selepas bergelar juara bertahan sejak edisi 2008 lagi.



“Terengganu dua kali tidak berjaya mengekalkan juara pada SUKMA  dan kerajaan negeri akan memastikan kita dapat merampas semula kejayaan itu.

“InsyaAllah kita akan melihat keperluan dan persiapan yang sepatutnya supaya tahun ini juara menjadi milik kita. Kita juga berharap semua rakyat Terengganu mendoakan kejayaan ini,”katanya ketika berucap di Program 'Meh Tengok Bola' di Gelanggang Budaya Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, awal pagi tadi.

Program anjuran kerajaan negeri sempena perlawanan akhir secara langsung Liga Juara-Juara antara Liverpool menentang Real Madrid yang berkesudahan Real Madrid menang 3-1, disiarkan menerusi layar gergasi, berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung di kalangan anak muda  terutama peminat bola sepak.



Turut hadir memeriahkan program itu, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebelum perlawanan bermula pada jam 2.45 pagi, orang ramai berpeluang menyertai sembang santai bersama tokoh anak muda dan penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus.

Selain itu, turut diadakan pertandingan PS4, jualan `carboot', cabutan bertuah dan program bersahur serta siaran langsung perlawanan Liga Super antara Terengganu dengan Melaka yang turut dipancarkan menerusi layar gergasi dan menyaksikan tuan rumah menang 1-0.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: