Thursday, 24 May 2018

TDM Rekod RM448.8 Juta Hasil Pendapatan 2017

SHARE

Ahli-ahli lembaga pengarah bersama Wan Nawawi (dua dari kanan) menunjukkan buku laporan tahunan TDM Berhad .Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Kumpulan TDM Berhad kembali mencatatkan perkembangan positif dengan merekodkan hasil pendapatan sebanyak RM448.8 juta bagi kewangan berakhir 31 Disember 2017 (FY2017), peningkatan 4.7 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM428.5 juta.

Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, keuntungan sebelum cukai Kumpulan (PBT) pula melonjak 49 peratus kepada RM52.3 juta untuk (FY2017) daripada RM35.1 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan dalam prestasi kewangan didorong oleh peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan juga juala isirong yang lebih tinggi.


“Dengan perkembangan positif ini, TDM akan membayar dividen sebanyak 0.5 sen untuk setiap saham biasa dengan jumlah anggaran RM8.3 juta.Bayaran ini selari dengan polisi dividen TDM di mana jumlah dividen adalah bersamaan dengan 36 peratus dari keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI)," katanya kepada pemberita di sidang media selepas  mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan TDM Berhad kali ke-53 (AGM), di Hotel Primula Beach, hari ini.


Menurut Wan Nawawi, pendapatan bahagian perladangan Kumpulan TDM meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM265.3 untuk FY2017 daripada RM245.9 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Tambahnya lagi, bahagian penjagaan kesihatan turut mencatatkan peningkatan sebanyak satu peratus kepada RM183.4 juta daripada RM182.7 juta yang dicapai pada tahun sebelumnya di mana terdapat peningkatan jumlah pesakit yang mendapat rawatan di hospital-hospital bawah naungan TDM Berhad.


“Di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMDI), TDM mempunyai empat hospital pakar dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan yang mampu dinikmati pesakit (Secondary Specialist Community Hospital) iaitu Kuantan Medical Centre, Kuala Terengganu Specialist Hospital, Kelana Jaya Medical Centre dan Taman Desa Medical Centre.

“KMDI turut bercadang untuk bekerjasama dengan PNB Commercial Sdn Bhd (PNBC) dalam usaha membangunkan sebuah hospital swasta yang berkapasiti berjumlah 100 buah katil di atas sebidang tanah milik PNBC bersebelahan dengan Hotel Sri Petaling, Kuala Lumpur dengan reka bentuk dan spesifikasi yang ditetapkan oleh KMDI dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020,” ujarnya.

Wan Nawawi berkata, beliau percaya bahawa strategi yang disediakan akan memberi kesan pertumbuhan yang mampan bagi memastikan TDM sentiasa berada di landasan yang betul bagi membantu pertumbuhan ekonomi negeri.  
SHARE

Author: verified_user

0 komen: