Friday, 18 May 2018

Tabika Kemas Beroperasi Seperti Biasa

SHARE
Dr Samsuri mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai. Foto Harish Fadzillah Kassim
Operasi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di negeri ini akan berjalan seperti biasa dalam proses peralihan kuasa yang berlaku.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan dakwaan kononnya operasi agensi yang ditubuhkan Kerajaan Persekutuan ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu bakal ditutup kerana persoalan tersebut tidak pernah dibincangkan kerajaan negeri di bawah Pas

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan yang operasi Tabika Kemas itu akan terus diperkasakan di masa depan sekiranya tiada sebarang keputusan dimuktamadkan.

"Apa yang kita bincang di peringkat pentadbiran kerajaan negeri ketika ini adalah perkara yang lebih penting untuk masyarakat dan isu mengenai Tabika Kemas tidak menjadi keutamaan dalam perbincangan itu.

"Kita biarkan semua proses berjalan seperti biasa sebab di awal ucapan saya semasa istiadat angkat sumpah lalu, saya ingin memastikan sebarang penambahbaikan yang dibuat kelak tidak menimbulkan rasa tidak senang dalam masyarakat terutama dalam isu-isu pendidikan anak-anak, " katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pengagihan bubur lambuk di Masjid Abidin, Kuala Terengganu, petang semalam

Hadir sama, isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Wan Mohd. Wan Ibrahim dan Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz.

Dalam majlis itu, sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk yang disumbangkan kerajaan negeri diagihkan secara percuma kepada orang ramai sempena bulan Ramadan.

Aizi Saidi berkata, agihan bubur lambuk itu bermula pukul 3.30 petang itu merupakan acara tahunan di Masjid Abidin sejak lapan tahun lalu.

"Setiap hari kita akan mengagihkan 2,000 bekas bubur lambuk kepada masyarakat sehingga hari ke-28 Ramadan.

"Orang ramai yang datang bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi bangsa-bangsa lain kerana ramai mengatakan bubur lambuk di sini lebih enak berbanding di tempat lain," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: