Monday, 7 May 2018

Pusat Rehabilitasi Sukan Terengganu Terulung Pantai Timur Bakal Beroperasi

SHARE

Ahmad Razif meninjau alatan Lokomat Pro & Huber V6 Model yang tersedia di Pusat Rehabilitasi Sukan Terengganu di Hotel Permai. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail


Pusat rehabilitasi yang efisien dan terulung di Pantai Timur dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi Sukan Terengganu (TSRC) bertempat di Hotel Permai, Batu Burok, Kuala Terengganu bakal beroperasi dua minggu lagi.

Inisiatif yang berkonsepkan pelancongan kesihatan menelan kos RM10 juta ini siap 28 Februari, baru-baru ini selepas melalui dua fasa kerja pengubahsuaian bermula pada awal Februari lalu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, TSRC akan menjadi hab pusat pemulihan untuk atlet negeri serta rakyat dengan mengenakan kadar kos yang minimum.


"Idea mewujudkan pusat rehabilitasi ini tercetus hasil lawatan rasmi saya ke Pusat Pemulihan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) di Melaka pada 23 November 2017 lalu. Sebelum ini saya juga sudah melawat pusat rehabilitasi di Munich dan Amsterdam.

"Kita juga sudah membina Pusat Rehabilitasi  1Malaysia DUN Seberang Takir di Kampung Telaga Daing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan `walkabout Terengganu Sports Rehabilitation Centre' di  TSRC, Hotel Permai, Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.


Ahmad Razif berkata, pusat rawatan itu mampu memenuhi keperluan dan permintaan rakyat Terengganu yang sangat tinggi bagi mendapatkan rawatan fisioterapi, sekali gus menampung kekangan perkhidmatan yang sama disediakan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan hospital setiap daerah yang dilihat kurang efektif kerana lazimnya menyediakan rawatan dua minggu hingga sebulan sekali.

"Ini juga satu  prinsip makasid syariah bagi membantu rakyat kita yang ditimpa penyakit sama ada strok atau pemulihan selepas menjalani pembedahan dan juga kemudahan untuk atlet kita daripada Terengganu.

"Sebagaimana diketahui kita (Terengganu) merupakan pengeluar atlet Malaysia serta memerlukan satu pusat rawatan pemulihan (fisioterapi) yang terbaik,"katanya lagi.

Menurut Ahmad Razif, pusat rehabilitasi yang dibangunkan kerajaan negeri menerusi Terengganu Incorporated ini mampu menjimatkan kos berbanding menghantar pesakit ke Majlis Sukan Negara (MSN) Malaysia di Bukit Jalil atau ke luar negara bagi menjalani rawatan pemulihan itu.

Tambahnya lagi, bagi menjadikan TSRC ini lebih efisien, korporat sinergi diwujudkan antara Kuala Terengganu Specialist (KTS) Hospital, Kumpulan Medic Iman (KMC) berserta Pengarah Medical Division, MSN serta Pakar Rehabilitasi HSNZ bersama Pusat Rehabilitasi Perkeso Melaka.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: