Tuesday, 8 May 2018

PRU14 : Moyang Enam Cicit Mengundi Sejak 1959, Kekal Pilih BN

SHARE


Meskipun usianya sudah menjangkau 83 tahun, namun tidak menghalang seorang warga emas yang uzur akibat sakit tua untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)  esok.

Menurut moyang kepada enam cicit Mohd Noor Ngah, walaupun uzur dan terpaksa dipapah atau berkerusi roda, ia terpaksa diketepikan demi masa depan anak cucu cicitnya.

"Pertama kali mengundi pada tahun 1959..pada masa tu Kapal Layar di bawah Parti Perikatan pada usia 23 tahun dengan semangat nak jadikan Tanah Melayu (Malaysia) milik bangsa kita.

"Hingga kini, Pak Cik berasa tidak tenang kalau tidak mengundi, kerana ini tentang ketuanan Melayu...takut hilang kuasa dan bangsa Melayu dijajah kembali," katanya yang juga bekas guru kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kuala Berang, hari ini.

Mohd Noor merupakan seorang daripada 17,848  pemilih yang layak mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Kuala Berang pada PRU14 ini.

Apa yang menariknya, Mohd Noor yang mempunyai 11 anak dan kira-kira 30 cucu itu mendakwa tidak pernah ketinggalan keluar mengundi setiap kali pilihan raya sejak dia layak mengundi bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat.

Menurut Mohd Noor, selagi masih hidup dan mampu melaksanakan tanggungjawab, dia akan turun mengundi sebagai melunaskan tanggungjawab yang besar bagi memilih pemimpin negara.

Tambahnya yang pernah memegang pelbagai jawatan parti sejak dalam perikatan hingga ke parti Umno, menganggap perjuangan dan sokongannya terhadap Barisan Nasional sudah sebati dalam diri dan keluarga.

"Kalau dulu pernah jadi penceramah masa parti kapal layar .Lepas tukar kepada Umno, pak cik pernah menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Setiu pada tahun 60an dan jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Terengganu pada tahun 70an.

"Jawatan terakhir sebelum bersara dari politik, sempat memegang jawatan Naib Ketua Veteran Umno Bahagian Hulu Terengganu dan terpaksa berehat apabila sakit tua...tetapi syukur bila perjuangan ini diwarisi oleh dua anak perempuan yang bergiat aktif dalam Puteri Umno,"katanya lagi.

Mohd Noor berkata, baginya tiada istilah kecewa atau merajuk dengan parti sejak menceburi kancah itu kerana perjuangan untuk Melayu menjadi agenda baginya untuk memastikan BN tetap berkuasa.

"Orang yang mudah kecewa dan merajuk bukan pejuang sebenar kerana mempunyai misi lain disebalik perjuangan politik memertahankan kedaulatan melayu...jangan kerana sikap kita... anak cucu kehilangan tanahair kerana niat nenek moyang terdahulu...menangis air mata darah pun tidak berguna lagi,"ujar Mohd Noor.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: