Monday, 7 May 2018

PRU14: Bina Segera 10,000 Unit Rumah Mampu Milik Jika BN Menang

SHARE
Ahmad Razif melihat replika rumah contoh di majlis pecah tanah pelancaran Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal dan Rumah Idaman Rakyat  (RIR) oleh SPNB melalui anak syarikatnya SPNB Idaman Sdn Bhd di Kuala Nerus, hari ini.  Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail
Kerajaan negeri akan menunaikan janji membina tambahan 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus mentadbir Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pembinaan unit perumahan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan projek rumah mampu milik kerana 10,000 unit yang dibina sebelum ini mendapat permintaan yang begitu tinggi.

“Perkara ini terkandung dalam manifesto tambahan BN Terengganu, sekiranya BN terus diberi mandat mentadbir negeri, selepas pilihanraya ini kita akan bina segera 10,000 unit rumah mampu milik yang dijangka akan siap dalam masa dua tahun.

 “Dalam masa yang sama, kita akan mengenalpasti 10,000 lagi unit rumah kerana untuk tempoh lima tahun akan datang kita akan bina sekurang-kurangnya 20,000 rumah mampu milik tidak termasuk rumah-rumah yang dibina oleh agensi yang lain kerana yang ini adalah komitmen kerajaan negeri untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Bagi fasa pertama, sebanyak 3,600 unit rumah mampu milik akan dilancarkan sebaik sahaja BN menang,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pelancaran Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal dan Rumah Idaman Rakyat  (RIR) oleh SPNB melalui anak syarikatnya SPNB Idaman Sdn Bhd di Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato ' Mohd Zubir Embong, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' A.Rahman Yahya serta Ahli Lembaga Pengarah SPNB Idaman Sdn Bhd, Dato’ Abdul Hamid Abu Bakar.


Pada majlis itu, RIR yang turut ditawarkan SPNB Idaman Sdn Bhd bermula dengan harga serendah RM68,000 untuk rumah teres mampu milik satu tingkat ( jenis A) dimana pemohon perlu berdaftar dengan unit perumahan negeri.

Manakala rumah teres satu tingkat (jenis B dan C) ditawarkan dengan harga RM179,000 dan RM216,500.

Lain-lain yang ditawarkan termasuk rumah teres dua tingkat dengan harga bermula RM319,000.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: