Monday, 7 May 2018

PRU14: Bazlan Serasi Dengan Penduduk Pulau Redang

SHARE
Bazlan meninjau persekitaran Kampung Pulau Redang. Foto Harish Fadzillah Abu Kassim.


Jiwa calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman sudah sebati dengan penduduk Kampung Baru Pulau Redang.

Setiap bantuan,  pembangunan, kemudahan asas diagihkan sama rata antara penduduk di tanah besar dan di perkampungan pulau itu.

Sepanjang tempoh lima tahun menjadi wakil rakyat Batu Rakit, Bazlan yang turut dikenali sebagai Pok Lan berjaya membawa perubahan besar di perkampungan itu.

Antaranya pembinaan klinik kesihatan, perumahan rakyat dan kilang air batu.

Oleh itu, tidak pelik, setiap kali adanya Pilihan Raya Umum (PRU), peti undi Pulau Redang sentiasa memihak kepada BN.

Bazlan berkata, dia cukup mengenali dan sangat rapat dengan  penduduk Kampung Pulau Redang.

"Ini kerana saya pernah menjadi guru Sekolah Kebangsaan Pulau Redang selama beberapa tahun iaitu sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada penggal lalu, " katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Borang 5A di Dewan Komuniti, Pulau Redang, hari ini.

Bazlan memberitahu, perkara pertama yang akan dilakukan sekiranya Barisan Nasional diberi mandat mentadbir Terengganu, akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membuat pelan lima tahun pembangunan di Batu Rakit.

"Perkara ini penting supaya segala projek yang diagihkan kepada DUN dapat dilaksanakan secara tersusun.

"Manakala akan mengatasi masalah banjir dan berusaha mempercepatkan jambatan yang menghubung Kampung Baru Pulau Redang dan Pasir Panjang Pulau Redang, " katanya.

Seorang penduduk, Siti Safiah Abd Kadir, 30, berkata dia berharap Bazlan kekal menjadi pemimpin Batu Rakit.

"Beliau yang saya dikenali cukup mesra dengan orang kampung selain mudah menghulurkan bantuan," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: