Monday, 14 May 2018

Program YDSM Jadi Ikutan Pelajar Indonesia

SHARE
Abdul Rahman bersama peserta Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab YDSM. Foto Harish Fadzillah Abu Kassim


Penganjuran Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) sejak 2010 bukan saja mendapat sambutan di semua sekolah di Terengganu, malah formatnya juga menjadi ikutan pelajar dari Sulawesi Selatan, Indonesia.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Prof Emeritus Dr Abdul Rahman Embong berkata, format program penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab yang diikuti oleh warga pendidik serta pelajar di Sulawesi Selatan itu adalah hasil kerjasama yang terjalin sejak 2011.

"Kita memang sudah lama bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan di sana dan pihaknya juga meminta kebenaran dengan YDSM untuk melaksanakan program pengukuhan bahasa Inggeris dan Bahasa Arab iaitu acara berbentuk pertandingan sebegini.

“Malah, kerjasama itu juga memudahkan kami melaksanakan program pertukaran pelajar antara pelajar dan pendidik di Terengganu dengan Sulawesi," katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan 2018, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Abdul Rahman yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Piala YDSM 2018 berkata, program dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu adalah usaha yayasan memberi nilai tambah dan sokongan Kerajaan Persekutuan serta negeri sejak dulu lagi.

Beliau berkata, kebanyakan murid dan pelajar yang mengikuti program berkenaan dapat meningkatkan tahap penguasaan dua bahasa itu.

"Penganjuran pertandingan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris asing kerana ia sudah dilaksanakan sejak sembilan tahun lalu, manakala Bahasa Arab sejak tujuh tahun lalu.

"Objektif program pengukuhan Bahasa Inggeris bertujuan memberi hak kesamarataan kepada murid dan pelajar baik yang mempunyai pencapaian pendidikan di peringkat paling bawah, sederhana dan pandai.

"Selain itu, program Smart English yang dilaksanakan YDSM pula kini sudah membabitkan seramai 7,202 murid daripada 363 sekolah rendah bermula di peringkat sekolah," katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: