Wednesday, 23 May 2018

Penjawat Awam Perlu Jaga Integriti Masa

SHARE


Menteri Besar menyempurnakan majlis penyerahan tugas antara Wan Nawawi dan A Rahman. Foto Harish Fadzlillah Kassim 
Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya sentiasa menjaga integriti masa dan bukannya bersikap acuh tidak acuh sewaktu dalam tempoh lapan jam bekerja.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, berkata budaya itu tidak elok diamalkan oleh penjawat awam kerana mereka diamanahkan untuk bekerja dan tempoh itu sewajarnya dimanfaatkan dengan tugas-tugas yang diberi.

Katanya, setiap tugasan adalah amanah daripada Allah SWT, oleh itu, mereka perlu menjalankan tugas sebaik mungkin kerana setiap  masa bekerja akan dibayar mengikut kadar penjawatan masing-masing.

“Untuk mendapatkan keberkatannya, setiap penjawat awam perlu menjalankan tanggunjwab sebaik mungkin,  tidak bersikap seumpama biskut `chips more’ atau dengan kata lain sekejap ada, sekejap hilang.

“Saya mengakui, masih ada penjawat awam di mana-mana jabatan di negeri ini masih bersikap acuh tidak acuh dalam tugasan yang diberi selain suka mencuri masa dengan melakukan kerja tidak berfaedah ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Tugas Pengurusan Tertinggi Pentadbiran Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis penyerahan tugas antara mantan Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Wan Nawawi Ismail kepada SUK  Baharu  dan beberapa pegawai tertinggi lain itu, disempurnakan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

A Rahman sebelum ini mengalas jawatan sebagai Pegawai Kewangan Negeri.

A Rahman turut memberitahu, dia akan meneruskan pentadbiran cemerlang sewaktu dipimpin SUK sebelum ini, selain menambah baik peraturan sedia ada, termasuk menguatkuasa larangan keluar masuk kakitangan dari bangunan Wisma Darul Iman.

“Pendekatan itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bertujuan mendisplin kakitangan terhadap masa dan tugasan,” katanya yang sudah 36 tahun  berkhidmat dalam sektor kerajaan,” katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: