Monday, 28 May 2018

Media, Hotel Permai Kolaborasi Agih 150 Pek Juadah Sahur

SHARE
Rozainah (dua dari kanan) bersama Noralizan (kiri) menyerahkan juadah sahur kepada petugas di HSNZ. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Persatuan Karyawan Kreatif Terengganu dengan kerjasama Hotel Permai meneruskan tradisi tahunan dalam menyantuni golongan yang kurang berkemampuan termasuk petugas di jabatan kerajaan yang bersengkang mata berkhidmat pada waktu malam hingga pagi.

Presiden Karyawan, Rozainah Zakaria, berkata program itu sebagai tanda kecaknaan dan memberi keceriaan kepada  golongan yang memerlukan perhatian dan keprihatinan masyarakat sekeliling termasuk dari badan bukan kerajaan.

"Tahun ini kita memilih golongan gelandangan di sekitar bandar raya ini dan petugas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri yang bertugas demi menjaga keamanan serta kesejahteraan awam.

"Hotel Permai menyediakan sebanyak 150 pek juadah sahur berupa nasi dan ayam goreng, sambal bilis dan kurma serta air mineral untuk diagihkan dan ini merupakan kerjasama buat kali pertama pihak kami dalam melaksanakan kerja amal, "katanya selepas menyampaikan juadah sahur kepada anggota JBPM, di Kuala Terengganu, semalam.



Program yang bermula 10 malam hingga 2 pagi, turut disertai Pemangku Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman serta lebih 30 orang petugas hotel dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Karyawan.

Rozainah berkata, selain program itu, pihaknya dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga akan menganjurkan acara bersahur beramai-ramai di puncak Bukit Besar dalam masa terdekat yang dimulakan dengan pendakian pada waktu malam.

Sementara itu, Noralizan berkata, kolaborasi pada kali ini dapat mengeratkan silaturahim selain pada  pada masa yang sama mampu membantu mempromosikan Hotel Permai.

"Pihak kami bersedia berkolaborasi dengan mana-mana pihak yang ingin melakukan kerja amal kerana bagi saya.. dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain dan tidak salah untuk berkongsi," ujarnya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: