Thursday, 31 May 2018

Madrasah Khairul Insan Jenagor Jadi Pilihan NGO Beraktiviti Sempena Ramadan

SHARE

Setiap kali tibanya Ramadan, ramai pihak berlumba-lumba untuk menambah amalan masing-masing bagi memperoleh ganjaran pahala dengan mengadakan pelbagai program termasuk menyumbang kepada mereka yang memerlukannya.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengambil kesempatan untuk beramal bersama insan-insan istimewa yang berada di sebuah penempatan terpencil di Madrasah Khairul Insan Jenagor, Hulu Terengganu.

Antara NGO terlibat, Persatuan Belia Pulau Manis Serada bersama TAC Outdoor dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Terengganu (APM), Kelab Eksplorasi Jerangau Barat (Kelek), Terengganu Backpackers dan MAYC Kuala Terengganu serta pengamal media Terengganu.

Penyelaras program, Mohd Rafi Kori berkata, program ini dilaksanakan bagi menyemarakkan aktiviti ziarah prihatin di kalangan masyarakat terutamanya golongan anak muda sebagai acara tahunan pengisian aktiviti Ramadan.

"Kami ingin mengajak anak muda untuk lebih menghayati Jejak Ulama dan Auliyak Terengganu di samping mempromosikan Madrasah Khairul Insan sebagai produk pelancongan islamik di Terengganu.

"Apabila berada di sini, kita juga boleh mendekati mereka-mereka yang pernah terjebak dengan gejala dadah dan bagaimana penghayatan rohani di madrasah menjadi elemen pemulihan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Ramadan Madrasah Khairul Insan Jenagor, baru-baru ini.

Tambahnya, selain menyampaikan sumbangan prihatin, pelbagai aktiviti turut dilaksanakan sebagai pengisian program bersama penghuni.

"Antara yang menarik, kami dapat menziarahi Makam Auliya Syarif Muhammad Al Baghdadi yang dikatakan penulis Batu Bersurat Terengganu dan sekitar kawasan madrasah.

"Saat paling seronok ketika iftar atau taam bersama jemaah apabila kami berkongsi makan dalam talam dan dikatakan dapat mengeratkan ukhwah serta semangat persaudaraan melaluinya.

"Selepas taam, menunaikan solat fardu dan tarawih bersama jemaah sebelum dihiburkan oleh
persembahan Kumpulan Dendang Anak, perkongsian cerita, sejarah melalui zikir dan lagu," katanya.

Madrasah ini diasaskan oleh Zulkifli  Ismail yang mula menjejakkan diri di kawasan itu pada 1987 bersama Pengkaji Sejarah Terengganu terkenal masa dahulu iaitu Allahyarham Dato Setia Jasa Dato'  Salleh Awang.

Secara rasminya, penempatan awal mula dibuka pada 1997 melibatkan sebuah pondok yang menggunakan buluh-buluh di kawasan sekitar dan kini penghuni di perkampungan madrasah semakin bertambah sehingga kira-kira 200 orang termasuk 10 keluarga.

Menurut Zulkifli, madrasah ini tidak mempunyai sumber peruntukan atau pendapatan tetap dari mana-mana sumber agensi mahupun yuran peserta dan menerima sumbangan dari pelbagai pihak yang prihatin terhadap mereka.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: