Monday, 7 May 2018

Ketengah Belanja RM140 Ribu Tuisyen Rakyat 2018

SHARE


Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukan hampir RM140,000 bagi melaksanakan Program Tuisyen Rakyat 2018 kepada penduduk luar bandar yang berada dalam wilayahnya.

Pengurusnya, Omar Ismail berkata, program ini merupakan salah satu program keutamaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan kepada golongan pelajar yang kurang berkemampuan.

Katanya lagi, usaha yang dilaksanakan oleh KKLW melalui Ketengah itu adalah percuma dan menyasarkan pelajar daripada golongan berpendapatan rendah, khususnya di luar bandar.

"Ketengah telah melaksanakan Program Tuisyen Rakyat @ KKLW ini sejak tahun 2016 dengan melibatkan  29 pusat tuisyen di tiga parlimen iaitu penglibatan sebanyak 32 buah sekolah.

"Melalui program ini, kita sediakan kemudahan kelas bimbingan percuma kepada para pelajar luar bandar bagi mempertingkatkan tahap penguasaan mata pelajaran teras dan pencapaian akademik sebagai pemangkin kecemerlangan modal insan.

"Impaknya kita dapat lihat peningkatan peratusan Lulus Semua Mata Pelajaran (LSMP) di samping peningkatan para pelajar yang memperolehi keputusan Gred A dalam mata pelajaran teras," katanya di Majlis Pelancaran Tuisyen Rakyat @ KKLW Peringkat Parlimen Hulu Terengganu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dr Ghazali Taib di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Landas, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.



Di majlis yang sama, Ketengah turut mengagihkan zakat sebanyak RM23,000  melibatkan 92 orang penerima dari golongan asnaf dan fakir miskin.

Menurut Omar, pembahagian zakat ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat anak syarikat Ketengah yang menjurus ke arah konsep saling membantu kepada yang memerlukannya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: