Wednesday, 23 May 2018

Kerja Untuk Rakyat, Lipatgandakan Khidmat Untuk Mereka-MB

SHARE
Ahmad Samsuri ketika berucap di Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Bersama Warga Kerja WDI, di Dewan Besar WDI, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail.
Penjawat awam di negeri ini dibawah pentadbiran baharu diseru meneruskan kerja untuk rakyat dan melipatgandakan khidmat untuk mereka.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, adalah menjadi tanggungjawab penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang seharusnya dilakukan secara kerjasama.

“Masa yang ada di saat ini ialah masa untuk kita meneruskan kerja. Saya mengajak seluruh warga kerja Wisma Darul Iman (WDI) untuk kita memulakan kerja besar untuk rakyat dan melipatgandakan khidmat untuk mereka.

"Tanggungjawab melaksanakan kerja yang berat ini hanya boleh dilakukan secara bersama dan hubungan yang erat diantara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kakitangan kerajaan yang menjadi jentera bagi menggerakkan negeri yang kita dicintai untuk mencapai kemakmuran,” ujarnya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Bersama Warga Kerja WDI, di Dewan Besar WDI, hari ini.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A.Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Mohamad Wan Ibrahim, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Zainal Abidin Hussin dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, gandingan jentera kerajaan dan seluruh agensi yang ada di bawah kerajaan negeri amat penting bagi memastikan kesinambungan dan penerusan gerak kerja yang akan memberikan kebaikan kepada rakyat.

“Tugas yang berat ini bukan untuk saya, exco, wakil rakyat tetapi untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

“Diatas prinsip inilah kita juga meletakkan kepercayaan kepada warga kerja WDI untuk menjalankan kerja dengan penuh tanggungjawab kepada rakyat Terengganu,” ujarnya.


Katanya, misi utama kerajaan kini adalah membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat.

“Maka ini memerlukan satu proses transformasi pentadbiran yang berterusan dan saya mengharapkan seluruh warga kerja WDI bersama saya memikul tanggungjawab besar ini,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: