Tuesday, 29 May 2018

Kerajaan Negeri Mahu Lebih Ramai Terima Dana Raya

SHARE
Ahmad Samsuri mengagihkan juadah berbuka puasa. Foto Tg Syamim Tg Ismail
Kerajaan negeri membuat keputusan mengurangkan jumlah bantuan Dana Raya Aidilfitri 2018 kepada RM250 berikutan mahu lebih ramai rakyat Terengganu yang berkelayakan menerima agihan dana itu.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mohktar, berkata bagaimanapun jumlah peruntukan kerajaan bagi tujuan itu masih sama, hanya jumlah agihan kepada penerima dikurangkan kerana mahu seramai mungkin rakyat menikmati dana itu.


Katanya, ini kerana selepas kerajaan Pas mengambil alih pentadbiran, beliau
mendapati sebilangan besar mereka yang berkelayakan tertinggal atau mungkin terlupa untuk membuat permohonan.

"Menyedari perkara itu, kerajaan membuka kembali  laman sesawang pada minggu lalu bagi memberi peluang kepada mana- mana yang belum berbuat demikian (permohonan baru).


"Saya percaya dengan cara itu, pastinya jumlah  penerima akan bertambah, " katanya.

Berdasarkan rekod, seramai 239,323 pemohon berjaya melepasi syarat-syarat yang ditetapkan dengan bayaran membabitkan RM88.7 juta pada tahun lalu.

Mereka menerima bayaran antara RM300 dan RM400 bergantung kepada kategori iaitu berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU), ibu atau bapa tunggal dan warga emas.


Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama Anak Yatim dan Warga UMT di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT, Kuala Nerus, petang ini.

Pada majlis itu, seramai 121 individu terdiri daripada anak yatim, OKU dan fakir miskin menerima bantuam kelengkapan raya.

Ahmad Samsuri memberitahu, program seumpama itu wajar diteruskan bagi meraikan mereka yang serba kekurangan.

"Apa yang diusahakan UMT itu patut dicontohi pihak lain kerana pada masa sama mampu mengeratkan hubungan
 masyarakat luar dengan warga UMT," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: